DUA pengarah syarikat dan seorang kakitangan sebuah syarikat perkilangan antarabangsa dijangka direman esok berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian mesin bernilai RM1.88 juta.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebut, dua pengarah syarikat bergelar “Datuk” berusia 50-an itu ditahan di ibu pejabat suruhanjaya itu.
Menurut sumber, turut ditahan seorang kakitangan wanita syarikat itu yang berusia 30-an yang disyaki bersubahat bersama dua suspek itu.
“Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan ke atas isu rasuah dan salah guna kuasa kira-kira RM1.88 juta.
“Ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah daripada ejen antarabangsa bagi membuat pembelian mesin bagi operasi syarikat yang mengeluarkan komponen alat penghawa dingin,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Difahamkan, tiga suspek itu sudah menggunakan dana syarikat untuk membeli mesin berkenaan dari Amerika Syarikat.
Namun, selepas itu, mereka disyaki meminta tajaan berbentuk rasuah daripada ejen antarabangsa sebagai balasan membeli mesin itu, kata sumber.
Selain itu, ketiga-tiga suspek juga difahamkan terlibat dalam salah guna kuasa dana syarikat yang beribu pejabat di Bangi untuk kepentingan peribadi.
The Malaysian Insight difahamkan antara projek yang dijalankan syarikat ini melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Istana Budaya dan pusat beli belah Pavilion.
Selain itu, syarikat berkenaan juga difahamkan terlibat dengan projek di Pusat Sains Negara, bangunan Parlimen Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Ketiga-tiga suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman, pagi esok. – 22 Januari, 2019.
Komen