SEORANG anak kepada seorang pegawai pengurusan tertinggi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tampil ke ibu pejabat agensi anti rasuah di Putrajaya untuk menyerahkan dokumen berkaitan siasatan ke atas suruhanjaya itu.
Sumber berkata, lelaki berusia 20-an itu dipercayai terlibat dalam skandal projek bernilai RM500 juta melibatkan SSM yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki itu disyaki menjalankan kegiatan terbabit semenjak seorang ahli keluarganya memegang jawatan tertinggi di SSM, kata sumber.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumah dan pejabat lelaki tersebut itu, masing-masing di Cyberjaya dan Sungai Besi, untuk merampas dokumen berkaitan siasatan.
Sumber berkata, lelaki itu diminta hadir untuk menyerahkan dokumen berkaitan siasatan kerana disyaki ada bahan bukti disembunyikan hasil pemantauan siasatan.
“Seorang kakitangan SSM sudah dirakam keterangan setakat ini dan dua lagi akan dipanggil esok untuk tindakan yang sama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Siasatan ke atas skandal rasuah RM500 juta di SSM itu semakin menampakkan hasil selepas 10 serbuan dilakukan SPRM ke lokasi berlainan sejak siasatan bermula pada 9 Januari lalu.
Serbuan pertama ke atas SSM dibuat pada 9 Januari lalu, yang membawa kepada rampasan hampir 69 kotak dokumen, dipercayai boleh membantu siasatan.
Sehari sebelum itu, sebuah pertubuhan masyarakat menghantar memorandum kepada SPRM menggesa siasatan ke atas SSM.
Memorandum itu menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi di SSM.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.
Bung Mokhtar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta secara langsung kepada Formis Network Services Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.
Beliau mendakwa kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta.
The Malaysian Insight difahamkan selain projek bernilai RM500 juta itu, SPRM turut menyiasat pemberian projek tanpa melalui tender terbuka oleh SSM sejak 2009.
Selain ibu pejabat SSM pada 9 Januari, SPRM turut menyerbu premis empat syarikat di Kuala Lumpur, termasuk firma perakaunan di Kampung Kerinchi.
Turut diserbu satu pejabat firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut. – 22 Januari, 2019.
Komen