Jururawat bunuh 90 pesakit di Jerman


Jururawat lelaki itu dipercayai pembunuh bersiri paling kejam dalam sejarah Jerman selepas perang. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2017.

SEORANG jururawat lelaki yang dipenjara dua tahun lalu kerana membunuh dua pesakit dengan dadah merbahaya dipercayai membunuh sekurang-kurangnya 90 pesakit lain dan angka itu mungkin jauh lebih tinggi, kata polis yang menyifatkan kes itu sebagai pembunuh bersiri terburuk dalam sejarah Jerman selepas perang.

Niels Hoegel, 40, dipenjara pada Febuari 2015 selepas didapati bersalah atas dua tuduhan bunuh dan empat cubaan bunuh atau mendatangkan kecederaan kepada pesakit di unit rawatan rapi di bandar Bremen.

Polis berkata yang pakar forensik menggali semula perkuburan dan menganalisis lebih 130 mayat dan menemui bukti kematian berpunca daripada tindakan Hoegel yang bekerja di dua hospital pada 1999 hingga 2005.

Hoegel mengaku menyuntik pesakit dengan dadah yang boleh menyebabkan serangan jantung supaya dia boleh menyelamatkan mereka dan apabila berjaya disanjung sebagai penyelamat oleh rakan sekerjanya.

Tindakan itu terbongkar pada Jun 2005 apabila seorang jururawat wanita melihat Hoegel cuba menyuntik seorang pesakit.

Pesakit itu diselamatkan dan Hoegel ditahan dan pada Jun 2008 dijatuhkan hukuman penjara tujuh setengah tahun untuk beberapa kes cubaan bunuh.

Tumpuan media yang diberikan kepada kes itu menyebabkan seorang wanita menghubungi polis, menyuarakan syak yang mendiang ibunya turut menjadi mangsa.

Pihak berkuasa menggali beberapa mayat dan mengesan sisa dadah itu dalam lima mayat.

Hoegel dipenjara seumur hidup pada 2015 dan ketika itu sudah jelas dia sebenarnya membunuh lebih ramai pesakit, dan penyiasat mengakui mereka tidak mengetahui jumlah sebenar. – AFP, 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen