RUSIA “sangat bimbang’ dengan situasi di Korea Utara, menggambarkan “situasi mungkin bertambah buruk” selepas Pyongyang melancarkan peluru berpandu ke Jepun.
“Kami melihat ada kecenderungan situasi bertambah buruk…dan kami sangat bimbang dengan perkembangan ini,” kata Timbalan Menteri Luar Rusia Sergei Ryabkov seperti dilaporkan agensi berita negara itu, RIA Novosti.
Tokyo berkata peluru berpandu itu melepasi Hokkaido, Jepun dan Perdana Menteri Shinzo Abe menyifatkannya sebagai “ancaman serius, buruk dan tidak dijangka” kepada keselamatan rantau.
Ryabkov berkata latihan ketenteraan antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang bermula pada 21 Ogos lalu “memainkan peranan mereka memprovokasi Pyongyang sehingga melepaskan tembakan.”
Puluhan ribu tentera terlibat dalam latihan “Pengawal Keamanan Ulchi” di Semenanjung Korea yang dilihat Korea Utara sebagai provokasi. – AFP, 29 Ogos, 2017.
Komen