KUMPULAN masyarakat Orang Asli tidak perlu mengemukakan geran untuk membuktikan hak milik ke atas tanah pusaka, kata bekas hakim Gopal Sri Ram.
Beliau berkata demikian bagi mengulas saman dikemukakan kerajaan persekutuan ke atas kerajaan negeri Kelantan berhubung pencerobohan ke atas tanah Orang Asli, lapor Free Malaysia Today.
Menurutnya, Orang Asli boleh mendapat hak milik tanah adat dengan hanya mengusahakan tanah atau memburu dan tinggal di kawasan sekitar, lapor portal itu.
“Menduduki tanah secara turun temurun adalah anggapan yang kuat dan tidak disangkal bahawa mereka memegang hak ke atas tanah itu,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Saman berkenaan menamakan kerajaan Kelantan, pengarah tanah dan galian, pengarah jabata perhutanan negeri, sebuah koperasi dan empat syarikat persendirian sebagai defendan.
Saman berkenaan dikemukakan bagi pihak Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dekat Gua Musang.
Menurut Peguam Negara Tommy Thomas, kerajaan negeri melanggar tanggungjawab mengikut perlembagaan untuk melindungi masyarakat terbabit.
Dalam kenyataan balas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah mendakwa Orang Asli hanya memiliki tanah yang dilupuskan hak kepada masyarakat terbabit.
Mengulas kenyataan itu, Sri Ram berkata Kelantan membuat tafsiran salah ke atas Kanun Tanah 1965 kerana mempercayai semua tanah dimiliki kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri secara tidak mengikut undang-undang menyekat Orang Asli daripada tanah adat, dan tiba masanya hak ini dikembalikan,” katanya.
Sri Ram salah seorang daripada dua hakim dalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Orang Asli dalam kes penting pada 1997 dan 2005.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilalihan Tanah 1960 dan Akta Orang Asli 1954 juga memihak kepada Orang Asli.
Menurutnya, pihak berkuasa boleh mengambil alih tanah tersebut tetapi masyarakat berkenaan perlu menerima pampasan setimpal.
“Jika tidak, ia melanggar hak ke atas harta mereka mengikut Perkara 13 (2),” katanya.
Dalam kes Selangor lawan Sagong Tasi pada 2005, Sri Ram yang menyampaikan keputusan itu berkata masyarakat Orang Asli Temuah berhak ke atas tanah adat. – 22 Januari, 2019.
Komen