Kim Jong-Un dapat anak ketiga


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dilaporkan menyambut kelahiran anak ketiganya, selepas isterinya tidak kelihatan keluar ke tempat umum sejak beberapa bulan lalu. – Gambar AFP, 29 Ogos, 2017.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-Un dilaporkan menyambut kelahiran anak ketiganya, selepas isterinya tidak kelihatan keluar ke tempat umum sejak beberapa bulan lalu.

Wanita Pertama Ri Sol-Ju melahirkan anak ketiga mereka pada Februari, lapor agensi berita Yonhap yang dilaporkan hari ini, memetik wakil rakyat Korea Utara yang dimaklumkan mengenainya oleh Perkhidmatan Risikan Negara.

Ri hilang daripada masyarakat umum bagi tempoh panjang tahun lalu, mencetuskan spekulasi yang beliau mungkin sedang hamil.

Berita kelahiran itu muncul ketika Korea Utara dilaporkan melancarkan peluru berpandu ke arah utara Jepun.

Menurut laporan risikan sebelum ini, Ri berkahwin dengan Kim pada 2009 dan melahirkan anak pertama mereka pada tahun berikutnya, dengan anak kedua pada 2013.

Kim generasi ketiga dinastinya yang memerintah Korea Utara, tetapi tidak banyak kisah keluarganya yang didedahkan kepada umum.

Bekas bintang NBA Dennis Rodman, yang melawat Korea Utara pada 2013 adalah satu-satunya sumber maklumat mengenai anak kedua pasangan itu – anak perempuan diberi nama Ju-Ae.

Walaupun menampilkan personaliti lebih terbuka kepada umum berbanding bapanya Kim Jong-Il, pemimpin Korea Utara itu masih kekal menyembunyikan maklumat peribadinya.

Malah, tarikh sebenar hari jadi dan perkahwinannya juga tidak dapat disahkan.

Laporan risikan Korea Selatan menggambarkan Ri sebagai datang dari keluarga biasa, bapanya ahli akademik dan ibunya doktor.

Beliau melawat Korea Selatan pada 2005 sebagai ahli pasukan sorak untuk skuad negaranya dalam Kejohanan Olahraga Asia. – AFP, 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen