AUSTRALIA bersedia untuk menawarkan latihan, khidmat nasihat dalam membantu pasukan tentera Filipina memerangi militan IS di bandar Marawi selatan Filipina, lapor agensi berita China Xinhua.
Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata perkara itu dibincangkan menerusi pertemuan dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semasa lawatan ringkas ke Asia Tenggara minggu lepas.
Pada sidang akhbar di Canberra hari ini, Bishop berkata tawaran itu bukan bermaksud Australia membekalkan anggota tentera di lapangan sebaliknya menyediakan latihan dan khidmat nasihat pakar dalam bidang ketenteraan.
Beliau berkata Australia adalah satu daripada beberapa negara yang menawarkan tawaran sama kepada Duterte namun presiden negara itu belum menyatakan sebarang persetujuan.
Sementara itu, jurucakap Hal Ehwal Buruh Luar Negeri Penny Wong bersependapat dengan pihak kerajaan bahawa mengekalkan kestabilan di rantau ini menjadi keutamaan.
Bercakap kepada radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), Wong berkata Australia akan terus membantu Filipina memandangkan ia satu perjuangan menentang keganasan yang “berada di rantau kita”. – Bernama, 29 Ogos, 2017.
Komen