Tolong BN, kami tolong balik, kata MB Pahang kepada pengundi Cina 


Christopher Rabin

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bertemu pengundi Cina di Tokong Tien Hou di Cameron Highlands malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Januari, 2019.

TUAN-tuan tolong saya, saya tolong tuan-tuan.

Itu mesej yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail kepada pengundi Cina di Cameron Highlands menjelang pilihan raya kecil Sabtu ini.

“Kita kena ingat ungkapan ‘tolong’.

“Saya minta tolong dari tuan-tuan sekarang, nanti boleh minta saya tolong pula,” Wan Rosdy memberitahu pengundi pada majlis di Tokong Tien Hou di Cameron Highlands malam tadi. 

Mengakui lesen pendudukan sementara (TOL) menjadi masalah utama penduduk di situ, beliau meminta pengundi memilih calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor kerana ahli Parlimen dari parti itu mampu menyelesaikan masalah berkaitan isu tanah di Cameron Highlands.

“Kita sama-sama tolong, tak ada masalah. 26 hari bulan (Januari) nanti,  tengok kertas undi dan tanya diri sendiri, ‘Adakah orang ini betul-betul boleh bantu saya? Tentang isu tanah, hanya dia (Ramli) yang boleh tolong saya, sebab tanah bawah kerajaan negeri, kan?’.

“Bila kita menang nanti, saya akan datang sini lagi,” kata ahli Parlimen Jelai itu.

Wan Rosdy menjelaskan, sebagai menteri besar, beliau telah meluluskan 51 permit TOL.

“Tuan-tuan, selepas jadi menteri besar, mula-mula sekali saya luluskan pertukaran nama untuk ibu bapa yang mahu beri tanah kepada anak mereka dalam tepoh dua hari.

“Tanah TOL ini juga saya tak mahu janji apa-apa, tapi apa yang boleh saya cakap, ia akan bertambah baik berbanding sekarang.

“51 orang dah dapat permit tanah, 22 lagi sedang menunggu,” katanya.

Wan Rosdy berkata beliau percaya masyarakat Cina di Cameron Highlands akan membuat pilihan dengan bijak kerana mereka tahu kepentingan peluang perniagaan dan peluang untuk meningkatkan kedudukan ekonomi.

“Pada 26 hari bulan nanti, fikir dengan bijak. Kalau rasa akan bawa manfaat pada Cameron Highlands, undi BN.”

Beliau mengingatkan pengundi yang mereka mempunyai beberapa hari sahaja lagi untuk memikirkan siapakah calon ahli Parlimen yang harus dipilih.

“Hari ini baru 21 hari bulan. Ada beberapa hari lagi untuk tuan-tuan fikirkan tentang isu tanah.

“Dan ingat juga, sebagai menteri besar, walaupun saya bukan anak jati Cameron Highlands, tapi saya dari Jelai, tak jauh dari sini,” kata Wan Rosdy.

Pilihan raya kecil Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ramli, calon Pakatan Harapan M. Manogaran serta calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. Pengundian awal akan diadakan esok. – 22 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen