MCA yakin pengundi Cina sokong BN di Cameron Highlands


Christopher Rabin

Hubungan BN dan PAS tak jadi masalah, kata Naib Presiden MCA Ti Lian Ker. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2019.

CALON Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor boleh meraih undi orang Cina, kata Naib Presiden MCA Ti Lian Ker.

“Orang Cina marah kerana masalah lama masih tak selesai, tetapi mereka kata pilih kerajaan baharu lebih buruk lagi.

“Jadi kita harap akan dapat undi baharu,” kata Ti di Pusat MCA Brinchang.

Ti juga berkata pengundi Cina lebih mementingkan isu tempatan dalam kempen pilihan raya ini, dan menyifatkan hubungan BN dan PAS tidak akan jadi masalah.  

“Itu (BN dan PAS) bukan fokus, kerana ini adalah demokrasi, sebuah demokrasi untuk semua orang berkempen dalamnya. Apa sahaja pilihan raya, mana-mana parti atau orang boleh berkempen.

“Saya fikir kita fokus kepada isu nasional, kita fokus kepada pentabiran kerajaan PH. Kita fokus kepada manifesto pilihan raya tak dipenuhi, apa yang PH buat kepada mereka. Isu nasional dan tempatan juga adalah kebimbangan pengundi Cina,” tambahnya lagi.

Ti berkata orang Cina Cameron Highlands lebih mementingkan isu tempatan seperti kesesakan trafik, tol yang belum mansuh dan isu tanah.

“Kami sudah memberitahu isu ini kepada kerajaan negeri, dan ahli Parlimen kita sudah bekerja sama dengan mereka kerana isu trafiik adalah isu kerajaan Pahang.

“Tanah juga isu kerajaan Pahang, jadi jika calon BN dipilih jadi ahli Parlimen, ia lebih mudah kerana hasrat politik sudah ada untuk selesaikan masalah,” katanya.

Calon BN, Ramli turut meluahkan keyakinan akan dapat meraih undi pengundi Cina dan Melayu berdasarkan sambutan diterimanya ketika tempoh berkempen.

Beliau berdepan pertempuran empat penjuru, menentang calon PH M Manogaran dan dua calon Bebas, Wong Seng Yee dan Sallehuddin Ab Talib. 

Pengundian dijadualkan pada 26 Januari, sementara pengundian awal akan berlaku esok. – 21 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen