‘Brotherhood of Runner' tolong penyokong beli tiket bola


Diyana Ibrahim

Runner Jokason Robinson, 30 , berkata kerjanya sebagai runner tiket bola sepak agak mencabar terutama daripada segi fizikal kerana perlu beratur berjam lamanya bahkan terpaksa bermalam di stadium.– Gambar Brotherhood of Runner, 29 Ogos, 2017.

MENJELANG perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea antara Malaysia dan Thailand, khidmat “Brotherhood of Runner” paling dicari penyokong bola sepak tempatan.

Khidmat “Brotherhood of Runners” dianggap sebagai penyelamat buat penyokong bola sepak yang tidak mempunyai masa untuk membeli tiket atau tidak suka  untuk beratur lama.

“Permintaan untuk khidmat mendapatkan tiket bola sepak kejohanan Sukan Sea memang terlalu banyak hingga kita tidak menang tangan,” kata Mohd Asror Mohd Azmal ketika ditemui The Malaysian Insight di Stadium Malawati, Shah Alam.

Katanya sekurang-kurangnya enam runner yang terlibat untuk mendapatkan tiket bola sepak perlawanan akhir dengan bayaran upah sekitar antara RM20 hingga RM30.

Namun katanya, caj juga bergantung kepada kehendak pelanggan kerana ada yang sanggup membayar lebih untuk mendapatkan khidmatnya.

“Caj ini tak tetap dan bergantung kepada pelanggan tengok juga berapa yang mereka sanggup bayar, dan tengok juga pada situasi contoh kalau sampai terpaksa bermalam di stadium mungkin akan naik lah caj.

“Tapi biasanya saya tidak akan caj lebih daripada RM30 dan paling mahal pun ada kawan runner kita caj mungkin dalam RM50 ke RM 60 bagi sekeping tiket yang termasuk upah kerana mereka terpaksa bermalam di stadium.

Ditanya adakah berbaloi beliau mengenakan caj yang murah, jawab pemuda itu biasanya ia bergantung kepada jumlah permintaan.

“Semakin banyak permintaan maka keuntungan kita makin tinggi juga. Sebab bagi pembelian tiket contoh untuk Sukan Sea final ini mereka hadkan seorang cuma lima tiket.

“Kalau saya nak dapatkan banyak untung, saya akan panggil lagi beberapa lagi kawan contoh saya akan minta tiga orang kawan datang beratur jadi kita dah dapat 20 tiket daripada situ.”

Katanya bagi tiket perlawanan akhir Sukan Sea sepatutnya kumpulan mereka perlu membeli 75 keping tiket bola

“Namun sebab keadaan pengurusan tiket bola yang agak kelam kabut sekarang ni yang kita berjaya beli cuma 35 keping saja.”

Pemuda itu juga menolak bahawa ada yang beranggapan  kerja sebagai “runner tiket” sama seperti ulat tiket.

“Runner tiket ini bergerak atas permintaan, biasanya kita dah ada senarai pelanggan kita tak beli tiket sekali pukal macam ulat tiket.

“Dan harga pun ulat tinggi memang akan lagi mahal sehingga RM80 atau RM90 bagi sekeping tiket.”

Penyokong pasukan bola sepak Malaysia terpaksa beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan tiket sehingga berlaku kekecohan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Ogos, 2017.

Katanya, dia mula menjadi “runner tiket” sejak perlawanan akhir Piala Malaysia yang menemukan Kedah dan Selangor.

“Tapi biasanya kalau perlawanan bola ada musimnya sebab itu kita memang buat kerja ‘runner’ lain seperti hantar dokumen, makanan apa sahaja yang pelanggan minta kita akan hantar,” katanya yang turut meniaga kaca mata hitam pada sebelah malam di Down Town Selayang.

Sementara itu, Azhar Maula A Rahman sudah menawarkan khidmatnya sebagai “runner” membeli tiket bola bermula daripada perlawanan suku air, separuh akhir termasuk  aksi final hari ini.

Seperti aksi final hari ini, katanya tempahan untuk membeli tiket telah dibuka sebaik saja Malaysia memenangi perlawanan separuh akhir menentang Indonesia, Ahad lalu.

“Untuk tiket perlawanan hari ini kita akan hadkan cuma terima permintaan pelanggan sampai jam 12 malam (Ahad) kemudian lepas itu kita akan tutup.

“Dan pelanggan perlu bayar deposit sebagai jaminan takut mereka tarik diri.”

Tambahnya  mereka menggunakan platform media sosial bagi mengiklankan perkhidmatan mereka.

“Tapi bagi tiket bola ini kadang kita tak letak iklan pun dalam Facebook sebab pelanggan sendiri yang akan cari kami.

” Permintaan banyak terutama kalau perlawanan macam ini sebab kita tahu penyokong memang akan muncul masa perlawanan akhir, suku akhir dan separuh akhir.”

Perlawanan akhir bola sepak bagi kejohanan Sukan Sea 2017 antara acara yang paling ditunggu- tunggu oleh penyokong sukan tersebut.

Penyokong bola sepak dikatakan sudah mula berkumpul di stadium sekurang-kurangnya jam 12 malam pada Ahad lalu bagi mendapatkan tiket meski kaunter hanya dibuka pada pagi Isnin kira- kira jam 10 pagi.

Venue perlawanan akhir bola sepak diadakan di Stadium Shah Alam dengan kapasiti sebanyak 80,000 penonton.

Sementara itu runner Jokason Robinson, 30, berkata kerja sebagai “runner” tiket bola sepak agak mencabar terutama daripada segi fizikal kerana perlu beratur berjam lamanya bahkan terpaksa bermalam di stadium.

“Kita tawarkan khidmat beli tiket bola ini sebab kita tahu memang susah orang nak dapat tiket perlawanan akhir jadi kita cuma bantu memudahkan mereka.”

“Lagipun caj yang saya kenakan tidak terlalu tinggi dalam RM20- RM30. Cuma niat kita memang nak tolong orang jadi kita tak caj yang terlalu tinggi,” katanya.

Katanya kebanyakan permintaan untuk beli tiket tidak hanya terhad di Kuala Lumpur atau lembah Klang bahkan pelanggan daripada Johor, Negeri Sembilan dan Perak turut menggunakan khidmatnya.

Dan untuk penghantaran tiket pula, katanya akan meminta pelanggan untuk mengambil di stadium saja.

“Kita tak hantar dekat pelanggan, mereka akan datang ambil sendiri di stadium, sebab kadang mereka nak rasa suasana cuma tak sanggup nak beratur lama- lama dan tidak ada masa.” – 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen