Kempen makin sengit di Cameron Highlands hanya untuk beberapa ratus undi 


Sheridan Mahavera Christopher Rabin

Tempoh berkempen mencapai titik pertengahan menyaksikan kedua-dua parti semakin giat meraih undi pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Januari, 2019

WALAU memiliki nama yang sama dengan perdana menteri, Mahathir tidak akan mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Cameron Highlands. 

“Saya mahu kerajaan lama semula. Ia bagus kepada Orang Asli. Kerajaan baru tidak buat apa-apa untuk kami,” kata lelaki berusia 65 tahun itu, yang nama penuhnya adalah Mahathir Yoktegos. 

Beliau merupakan antara 1,095 pengundi di penempatan Semai di Pos Sinderut. Masyarakat Orang Asli seperti beliau telah melihat beberapa kempen sengit dalam pilihan raya kecil itu yang akan mencapai tiitik pertengahan pada hari Ahad.

Dalam kerusi yang dimenangi dengan kurang 600 undi pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, tambahan 1,000 undi akan memberi perbezaan yang besar kepada setiap gabungan. 

Dengan berbaki lima hari lagi sebelum hari mengundi, kedua-dua Pakatan Harapan dan Barisan Nasional cuba sedaya upaya untuk memenangi hati orang seperti Mahathir untuk mendapatkan lebihan itu bagi memenangi pilihan raya itu. 

Menurut aktivis PH dan BN, terdapat beberapa sebab mengapa masyarakat Semai paling sukar dipikat berbanding masyarakat Melayu, Cina dan India.

Aktivis PH Muhammad Azmi Abdullah berkata, BN telah mengunci blok paling besar pengundi – Melayu Islam yang menjadikan 33.7% daripada keseluruhan pengundi dan mereka yang tertumpu di Jelai. 

Mahathir Yoktegos menyatakan sokongannya terhadap BN berikutan kecewa dengan Pakatan Harapan yang dilihat tidak melakukan apa-apa kepada masyarakat Orang Asli. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Januari, 2019

“Jelai memang menjadi kubu kuat BN. Kawasan DUN Jelai juga merupakan kerusi menteri besar Pahang yang juga pengerusi BN negeri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya yang merupakan setiausaha Bersatu Cameron Highlands. 

Sementara itu, PH optimis dalam mengekalkan sokongan pengundi Cina dan India, yang terdiri daripada 29.5% dan 14.9%, dan kebanyakannya berada di kawasan DUN Tanah Rata, yang mana terletaknya kebun sayuran dan kawasan pelancongan. Tanah Rata dimenangi oleh calon PH Chiong Yoke Kong pada PRU14 dengan 3,589 undi. 

Memandangkan hampir kesemua masyarakat Orang Asli di kampung mereka dan hanya segelintir sahaja pengundi luar tidak sepeerti masyarakat lain, secara perbandingannya agak mudah untuk mendapatkan sokongan mereka. 

Kepentingan undi suku Semai dapat dilihat apabila BN memutuskan untuk meletakkan calon Orang Asli pertamanya Ramli Mohd Nor di kerusi Parlimen itu, walaupun hakikatnya sejak kerusi itu diwujudkan pada 2004, ia sentiasa diberi kepada MIC, yang merupakan parti kaum India dalam gabungan. 

Aktivis dari Impian Sarawak, yang pakar dalam urusan masyarakat suku kaum pribumi, berkampung di perkampungan itu sejak Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands. 

Terdapat juga kontinjen DAP Kelantan, yang kebanyakan mereka adalah aktivis Orang Asli dari Gua Musang. 

Penasihat DAP Lim Kit Siang dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim turut beberapa kali mengadakan lawatan ke penempatan itu, manakala parti komponen PH, Bersatu sudah menubuhkan cawangannya di Pos Betau yang mempunyai 1,129 pengundi.

Cabaran sukar raih undi 

Pada PRU14, BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands dengan hanya 597 undi. Ia mendapat sokongan paling besar dalam kalangan masyarakat Melayu Islam dan Orang Asli, menurut penolong pengarah pendidikan kebangsaan DAP Ong Kian Ming. 

Perbezaannya, PH menang 76.9% daripada keseluruhan undi di pusat daerah mengundi yang mana majoritinya adalah pengundi Cina. Di pusat daerah mengundi majoriti India, PH menang 61.4% daripada keseluruhan undi. 

Pada pilihan raya kecil kali ini, pemimpin PH tempatan seperti Ching Yoke Kong yakin ia mampu mengekalkan sokongan yang sama daripada masyarakat ini di Tanah Rata. 

Dalam pusat daerah mengundi Melayu, BN memang 46.9% daripada keseluruhan undi pada PRU14, menurut data Ong. PAS, yang mendapat 41.9% daripada keseluruhan undi di daerah ini, mengarahkan penyokongnya untuk mengundi BN. 

Dalam kerusi yang dimenang kurang daripada 600 undi pada PRU14 itu, kelebihan 1,000 undi boleh membawa perbezaan besar, akui Muhammad Azmi dari Bersatu. 

“Paling besar, saya percaya kita boleh dapat, ialah menang 10% daripada undi keseluruhan dalam daerah majoriti Melayu Islam, kata Muhammad Azmi, yang merupakan bekas guru di penempatan Felda Sungai Koyan. 

Ikatan antara Umno-PAS akan menyaksikan peningkatan sokongan dalam undi seperti di daerah mengundi Kampung Keledek yang mempunyai 929 undi. Pada PRU14, PAS menang 59.8% daripada undi di kawasan itu manakala BN mendapat 33.9% menurut data daripada Ong. 

Aktivis PH Muhammad Azmi Abdullah yakin kemampuan Pakatan untuk memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands namun mengakui cabaran yang dihadapi dalam meraih undi. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Januari, 2019

“Buat pertama kali dalam sejarah di Kampung Keledek, BN berkemungkinan akan memang, terima kasih kepada sokongan dari PAS,” kata pemimpin akar umbi BN Pahang yang mengetuai kempen di Kampung Keledek. 

Tetapi di sembilan penempatan Orang Asli, yang secara kolektif memberi 4,749 undi, perang bagi memenangi hati dan minda pengundi seolah-olah berubah setiap hari.

Fadzil Mohamad Kamal dari BN berkata, gabungan itu yakin ia akan mengekalkan tahap sokongan 64.7% bagi Pos Sinderut namun mengakui persaingannya semakin sengit. 

Fadzil mendakwa sebelum lawatan bekas perdana menteri Najib Razak pada 19 Januari, PH memanggil tiga Tok Batin Pos Sinderut ke Tanah Rata untuk mengadakan mesyuarat. 

“PH telah pergi ke kampung-kampung terpencil secara agresif. Semai bertanya mengapa mereka tiba-tiba melakukan semua ini?” kata Fadzil, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Raub dan pemimpin tertinggi dalam kempen BN di Pos Sinderut.

Di Pos Betau, Muhammad Azmi berkata buat pertama kalinya, gabungan itu dapat meningkatkan sokongannya.

“Kami tidak berharap dapat memenangi majoriti di semua daerah pengundi Melayu dan Orang Asli. Kita tahu itu tidak mungkin kerana BN berada di sini. Kami hanya berharap untuk mendapatkan lebihan 700 hingga 1,000 undi untuk membantu meningkatkan undi secara keseluruhan di Cameron Highlands.” – 21 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen