TINDAKAN Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong yang menari bersama dalam satu majlis sosial dikhuatiri akan menjejaskan konsep pengasingan kuasa, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib turut mempertikaikan kebisuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap kejadian tersebut, berbeza dengan reaksi mereka ketika Apandi Ali - peguam negara zaman pentadbirannya - dirakam menari dengan beberapa orang menteri dahulu.
“Apandi dikecam dulu. Jadi kalau dia apply standard yang sama, soalnya kenapa pulak dia (pemimpin PH) membisu sekarang?
“Walaupun tak ada kesalahan untuk kita menari, tapi persepsi rakyat terutama sekali mesti ada orang kata pengasingan kuasa di antara peguam negara, ketua hakim, menteri, hakim dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program Jom Ride On bersama #Bossku di Podium Sungai Penchala hari ini.
Dalam kes Apandi yang berlaku pada 2016, beliau dirakam menari bersama beberapa menteri ketike itu termasuklah Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Salleh Said Keruak, Azalina Othman Said dan Nancy Shukri pada sambutan Hari Kebangsaan.
Situasi sama berulang apabila Richard, Tommy dan Liew serta beberapa orang peguam “pro PH” seperti Ambiga Sreenevasan dan Siti Kasim pula dirakam menari bersama-sama pada majlis makan malam Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu, Jumaat lalu.
Menurut Najib lagi, tindakan menari di pentas bersama itu bertentangan dengan kedaulatan undang-undang yang kononnya diperjuangkan oleh kerajaan pada hari ini.
“Jadi bila video itu memperlihatkan mereka menari bersama-sama boleh menimbulkan persoalan sama ada prinsip ini benar-benar menjadi kenyataan ataupun dihormati oleh mereka.
“Itu menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat sekarang ini. Sebab itu saya kata menari tak salah tetapi yang menjadi kekhuatiran itu prinsip pengasingan kuasa,” katanya. – 20 Januari, 2019.
Komen