250 pelajar bukan warganegara boleh bersekolah di Sarawak


Kanak-kanak berkenaan kebanyakannya anak kepada pasangan warga tempatan dan warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2019.

JABATAN Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) meluluskan 250 permohonan kemasukan kanak-kanak yang belum ditentukan status kewarganegaraan ke sekolah-sekolah kerajaan di negeri ini, pada sesi persekolahan 2019.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Fatimah Abdullah berkata kanak-kanak berkenaan kebanyakannya anak kepada pasangan warga tempatan dan warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata masalah itu berlaku apabila pasangan tersebut terdiri daripada lelaki tempatan dan isterinya warga asing tidak memiliki sijil perkahwinan sah, perkahwinan tidak teratur atau tidak mendaftar perkahwinan di negara ini selain kelahiran anak-anak mereka tidak didaftarkan.

“Kanak-kanak yang belum ditentukan kewarganegaraan ini boleh bersekolah di sekolah kerajaan tetapi perlu membayar yuran RM120 setahun bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah pula RM240 setahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Destiny for Children Center Sibu hari ini.

Beliau berkata 10 lagi permohonan ditolak kerana kanak-kanak tersebut adalah anak dilahirkan warga asing yang memasuki negeri ini menggunakan pas sosial.

Pada lawatan tersebut, beliau berkesempatan menjawab pertanyaan daripada ibu bapa yang anak-anak mereka menghadapi kesukaran memasuki persekolahan disebabkan status kewarganegaraan belum dapat ditentukan.

Masalah tersebut berpunca daripada ketiadaan dokumen rasmi seperti sijil kahwin dan sijil kelahiran terutama melibatkan lelaki berkahwin dengan warga asing.

Fatimah berkata pasangan berkenaan perlu menguruskan segera dokumen perkahwinan dan dokumen kelahiran anak-anak bagi mengelak anak-anak mereka tidak dapat bersekolah.

Beliau berkata apabila sudah memiliki dokumen-dokumen sah, mereka boleh memohon kewarganegaraan anak-anak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau, bagaimanapun menjelaskan, permohonan kewarganegaraan itu bukan diluluskan oleh kementerian beliau atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak, namun menteri dalam negeri di peringkat Persekutuan. – Bernama, 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen