Tarian majlis sosial peguam, Siti Kasim kecam Pemuda Umno


Bede Hong

Mereka ini tidak ada kerja, hanya mahu cari salah orang, kata Siti Kasim mempertahankan video terbongkar peguam utama negara menari dalam satu majlis perundangan semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2019.

PEGUAM dan aktivis terkenal Siti Kasim tampil mempertahankan peserta yang menari pada pembukaan majlis makan malam di Kota Kinabalu malam tadi, antara lain melibatkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam catatan Facebook bertajuk “GET A LIFE RETARDS…”, Siti mengecam kenyataan dikeluarkan hari ini oleh Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang mengecam tindakan ketua hakim dan peguam negara serta Menteri Undang-Undang VK Liew dan peguam lain yang menari di pentas pada majlis tersebut.

Bekas presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan, Siti dan beberapa orang peguam lain juga dilihat turut serta, dalam tindakan yang dianggap Asyraf “memalukan institusi kehakiman dan perundangan negara.”

“Kami dalam majlis bidang perundangan. Sudah tentu orang besar perundangan akan berada di sana,” kata Siti di catatan Facebooknya hari ini.

Beliau juga menepis dakwaan kejadian itu mencetuskan kontroversi kerana ia dilakukan dalam semangat meraikan majlis tersebut.

“Kontroversi apa? Adakah akaun bank saya penuh duit? Adakah saya dilepaskan daripada perbicaraan saya dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan)? Adakah saya terima layanan baik daripada CJ (ketua hakim)? Daripada AG (peguam negara)? Tidak. Jika saya bercakap dengan mereka pun semuanya tentang Orang Asli. Saya secara peribadinya tak kenal pun mereka (CJ dan AG).”

Siti juga mengecam Asyraf yang memuatnaik video tersebut dalam Facebooknya hari ini sebagai individu yang tidak ada intergriti, kehormatan diri dan kejujuran.

“Jika anda ada integriti, kehormatan diri dan kejujuran, anda akan kekal begitu dalam apa sahaja keadaan. Anda mula fikir negatif tentang orang lain kerana anda begitu orangnya.

“Peguam kontroversi? Hanya kerana saya cakap benda betul? Seperti panggil sesetengah orang Melayu bongok dan bangang kerana tak boleh berfikir? Hanya kerana saya bercakap tentang agama sedangkan orang Melayu rasa saya patut diam? Hanya kerana saya wanita?”

Apabila dihubungi, Siti percaya tiada undang-undang dilanggar kerana pemimpin institusi kehakiman dan perundangan Malaysia itu adalah tetamu khas dalam majlis anjuran peguam, dan bukannya aktiviti politik.

“Mereka ini orang Umno dan PIS (PAS). Mereka asyik cari silap. Mereka cari silap semua benda walaupun dalam tarian yang tak bersalah (tak ada apa-apa),” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, catatan Siti di Facebook sudah dipadam oleh gergasi media sosial dunia itu susulan laporan beberapa pihak mengenainya kerana dianggap melanggar terma dan syarat penggunaan.

Siti juga tidak boleh memuatnaik sebarang catatan baharu selama tujuh hari bermula hari ini.  – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen