PEMUDA Umno Asyraf Wajdi Dusuki membidas Ketua Hakim Negara Richard Malanjum kerana menari bersama Peguam Negara Tommy Thomas dan menteri undang-undang Liew Vui Keong pada satu majlis.
Video yang memaparkan aksi berkenaan yang dirakam menggunakan telefon bimbit pada majlis makan malam Legal Year 2019 di Kota Kinabalu malam tadi menunjukkan Malanjum menari bersama sekumpulan tetamu di pentas tular di media sosial.
Asyraf dalam satu kenyataan hari ni membidas acara itu, dan mengatakan peguam yang “pro Pakatan Harapan” seperti bekas presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan dan aktivis terkenal Siti Kasim turut dilihat menari bersama ketua hakim.
Beliau berkata institusi kehakimanan dan perundangan negara amat sensitif dengan apa jua bentuk pergaulan sosial terutamanya para hakim yang mampu menggugat keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka.
“Apatah lagi jika melibatkan ketua hakim negara dan peguam negara yang bersosial dengan ahli politik dan individu berprofil tinggi yang pastinya boleh mengundang kontroversi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sebarang keputusan yang bakal mereka ambil kelak,” katanya.
“Pemuda Umno melahirkan rasa amat kecewa dengan penularan video majlis sosial tersebut yang hakikatnya telah mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara terutamanya institusi Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti dan nilai Integriti lantaran pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan (conflict of interest) yang mula dipersoalkan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengkritik Ketua Hakim dan Peguam Negara kerana tarian itu.
Beliau berkata tokoh eksekutif dan kehakiman perlu menjaga imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman dalam acara rasmi.
“Pada 2016 kita pernah persoal AG, menteri menari di acara Merdeka. Kita mesti konsisten,” katanya menerusi Twitter.
Pada 2016, satu klip video memaparkan Peguam Negara ketika itu, Apandi Ali tersebar di media sosial, yang mana beliau menari bersama menteri Barisan Nasional, termasuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Salleh Said Keruak, Azalina Othman Said dan Nancy Shukri ketika perarakan Hari Merdeka.
Video terbaru yang tersebar itu juga memaparkan menteri undang-undang Liew Vui Keong, dan peguam yang juga aktivis Siti Kasim. – 19 Januari, 2019
Komen