Rumah pembantu pegawai SSM pula diserbu SPRM 


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menyerbu rumah pegawai khas berusia 30-an yang terletak di Southville, Bangi itu bermula jam 1 petang tadi kerana disyaki ada bahan bukti disembunyikan hasil pemantauan siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2019.

KEDIAMAN seorang pegawai khas kepada seorang pegawai pengurusan tertinggi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjadi sasaran terbaru serbuan penyiasat hari ini.

Rumah pegawai khas berusia 30-an yang terletak di Southville, Bangi itu diserbu bermula jam 1 petang tadi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, serbuan disasarkan ke rumah pegawai lelaki itu kerana disyaki ada bahan bukti disembunyikan hasil pemantauan siasatan.

“Hasil serbuan di rumah pegawai ini mendapati skandal SSM ini dipercayai mempunyai kaitan dengan pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pegawai penyiasat masih ada di lokasi serbuan bagi mencari lebih bahan bukti berkaitan skandal ini,” kata sumber SPRM kepada The Malaysian Insight.

Siasatan ke atas skandal rasuah RM500 juta di SSM itu semakin menampakkan hasil selepas agensi anti rasuah menyerbu empat lokasi dalam tempoh 24 jam semalam.

Ia menjadikan lokasi kesembilan yang diserbu SPRM sejak siasatan bermula pada 9 Januari lalu.

Antara yang dikunjungi SPRM adalah ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur.

Di antara serbuan pertama dan terakhir, SPRM menyerbu dua premis yang dikaitkan dengan lelaki berkenaan yang disyaki terlibat dalam dakwaan skandal pemberian kontrak secara rundingan terus bernilai RM500 juta.

Selepas serbuan berterusan sepanjang lapan hari, kecuali Sabtu dan Ahad, SPRM kini merampas 90 kotak dokumen bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan ketirisan kontrak yang diberi secara rundingan terus sehingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

Siasatan SPRM ini bermula dengan serbuan ke atas SSM pada 9 Januari lalu, yang membawa kepada rampasan hampir 69 kotak dokumen yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Sehari sebelum itu, sebuah pertubuhan masyarakat menghantar memorandum kepada SPRM menggesa siasatan ke atas SSM. Memorandum itu menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi di SSM.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia didakwa memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta secara langsung kepada sebuah syarikat tanpa melalui tender terbuka. – Gambar Facebook, 19 Januari, 2019.

Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.

Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM.

Bung Mokhtar ketika itu mendakwa SSM memberikan projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta secara langsung kepada Formis Network Services Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.

Beliau mendakwa kontrak secara rundingan terus bagi tempoh lima tahun, dan lanjutan mandatori untuk lima tahun apabila tamat, akan menyebabkan kerajaan rugi lebih RM250 juta.

The Malaysian Insight difahamkan selain projek bernilai RM500 juta itu, SPRM turut menyiasat pemberian projek tanpa melalui tender terbuka oleh SSM sejak 2009.

Selain ibu pejabat SSM pada 9 Januari, SPRM turut menyerbu premis empat syarikat di Kuala Lumpur, termasuk firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut.

Semalam, SPRM menghabiskan masa dua jam di ibu pejabat SKMM dan merampas dua lagi kotak dokumen.

Selepas ibu pejabat SKMM, pada pukul 3.30 petang agensi anti rasuah itu menyerbu sebuah pejabat di Tamarind Square di Cyberjaya, milik suspek yang dipercayai mula menjalankan kegiatan yang didakwa sejak bapanya memegang jawatan kanan di SSM.

Selepas itu, SPRM meneruskan operasi ke atas sebuah gudang di Semenyih, yang juga dikatakan ada kaitan dengan anak pegawai kanan SSM itu.

Beberapa fail dirampas di pejabat anak pegawai tersebut di Cyberjaya namun penyiasat percaya individu tersebut masih menyembunyikan fail.

SPRM kemudian meneruskan serbuan ke rumah suspek di Bandar Tasek Selatan pada jam 9 malam. Selepas lebih kurang 30 minit, pasukan penyiasat meninggalkan premis bersama dokumen dipercayai berkaitan dengan syarikat milik anak pegawai kanan SSM itu.

The Malaysian Insight difahamkan SPRM akan memanggil lelaki itu ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan pada Selasa ini. – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen