KERAJAAN Kelantan tidak mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan negeri, kata pemimpin negeri itu sebagai respons terhadap tuntutan undang-undang Putrajaya terhadap negeri itu bagi pihak Orang Asli.
Mereka juga berkata Orang Asli tidak memiliki tanah di Kelantan, sambil menambah apa yang dimiliki Orang Asli adalah tanah yang diberikan kerajaan negeri.
“Setakat ini tidak ada tanah yang dimiliki Orang Asli kecuali yang diberi milik oleh kerajaan negeri,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah.
Beliau juga berkata beliau tidak mengetahui mengenai tuntutan difailkan oleh Putrajaya, dan sedang menunggu maklum balas daripada pakar undang-undang negeri mengenai perkara itu.
“Tanah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Baru dan peguam PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata tidak ada peruntukan yang memerlukan Kelantan mengiktiraf hak tanah nenek moyang Orang Asli.
“Kerajaan tidak akan memberi kebenaran kepada syarikat untuk membalak di kawasan yang diklasifikasikan sebagai ‘kawasan rayau’,” katanya.
Menjawab tindakan undang-undang Putrajaya, Takiyuddin dilaporkan berkata bahawa saman itu “pelik”.
Beliau juga berkata penasihat undang-undang negeri adalah pegawai persekutuan, dan saman itu menyebabkan pegawai dalam keadaan serba salah.
Semalam, Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan PAS Kelantan untuk mendapatkan hak tanah adat bagi Orang Asli Temiar di Pos Simpor.
Selain kerajaan negeri, saman itu turut menamakan pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan lima syarikat swasta.
Tindakan itu adalah sebagai usaha kerajaan persekutuan untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang berhubung tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dan injunksi untuk menghalang pihak swasta daripada menceroboh dan memusnahkan tanah adat demi keuntungan komersil.
Peguam Negara Tommy Thomas berkata komuniti Temiar tidak perlu membayar sebarang kos undang-undang.
Nasib Orang Asli di Gua Musang diketahui umum apabila berita komuniti itu membina sekatan untuk menghalang pembalak dan pemilik ladang memasuki tanah mereka, dan apabila pihak berkuasa negeri bertindak meruntuhkan sekatan itu. – 19 Januari, 2019.
Komen