INI ada dua senario yang boleh direnungkan:
Jika anda seorang majikan, adakah anda akan lanjutkan tempoh persaraan eksekutif kanan sekiranya prestasi mereka hanya biasa-biasa?
Jika anda mahu jalankan transformasi syarikat dan membanteras budaya rasuah, rundingan meragukan dan prestasi buruk, adakah anda mempertanggungjawabkan tugas ini kepada individu yang menjadi sebahagian daripada sistem usang ini?
Jika jawapan bagi kedua-dua soalan ini batuk di tangga dan kemurahan hati yang tidak kena tempat.
Beberapa individu dalam kerajaan baharu termasuk menteri undang-undang VK Liew menggesa akan persaraan hakim ini dilanjutkan, dengan alasan waktu tambahan ini akan memberi para hakim ini lebih banyak masa untuk menjalankan reformasi dan sebagainya.
Pihak yang menyokong rancangan ini menyatakan bahawa empat hakim paling kanan ini akan bersara dalam tempoh beberapa bulan atau satu tahun dan ini akan menyebabkan wujud jurang pengalaman dan kesinambungan tugas hakim.

The Malaysian Insight difahamkan, persatuan peguam Sabah dan Sarawak juga berhasrat agar Malanjum dan hakim berkenaan mendapat lanjutan tempoh empat tahun lagi.
Setakat ini pendirian Badan Peguam belum jelas dalam pindaan Perlembagaan untuk melanjutkan tempoh persaraan hakim.
Bagaimanapun, jelas bahawa Badan Peguam dan pemimpin kanan seperti Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, pakar perundangan dan banyak pihak yang terlibat dengan kes saman merungut mengenai salah laku badan kehakiman.
Timbul aduan bahawa wujud rasuah dan pakatan haram di antara beberapa hakim dan peguam, dan terdapat laporan mengenai campur tangan hakim kanan dalam kes-kes penting. Selain itu, muncul pandangan bahawa Istana Kehakiman tidak menyampaikan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih, seperti yang sepatutnya.
Ini bukanlah tuduhan baharu tetapi sudah ditanggung oleh institusi itu sejak sekian lama. Contohnya, Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2007 yang mendapati VK Lingam menjadi broker pelantikan hakim dengan bekas bekas ketua hakim negara Ahmad Fairuz.
Suruhanjaya itu mengemukakan sejumlah saranan untuk membersihkan cabang kehakiman. Pentadbiran Abdullah Badawi berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu terlibat tetapi tidak banyak yang berlaku.
Pada Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau ditegur oleh hakim kanan atas penentangannya dalam kes penukaran agama sepihak M Indira Gandhi.
Dalam kes itu, dua hakim Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa mahkamah sivil tiada bidang kuasa ke atas penukaran agama anak Indira kepada Islam, dengan alasan perkara itu bawah bidang kuasa mahkamah Syariah.
Hakim Hamid Sultan tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana penukaran agama sepatutnya dipersoal di mahkamah sivil.
Selepas ditegur oleh hakim kanan atas keputusan penentangannya itu, Hamid Sultan berkata beliau tidak lagi ditugaskan untuk kes melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan perkara melibatkan kepentingan awam.
Penjelasan yang diberikan oleh mahkamah ke atas tuduhan serius tersebut adalah “hakim kanan” tersebut sudahpun bersara.
Jawapan lazim sebegini berbahaya memandangkan timbul cerita bahawa badan kehakiman Malaysia semakin pulih selepas persaraan bekas ketua hakim Raus Sharif dan dan presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin pada 31 Julai lalu.
Tempoh perkhidmatan Raus dan Zulkefli dilanjutkan oleh pentadbiran Najib. Ia menimbulkan kontroversi kerana pandangan perundangan menunjukkan lanjutan tempoh khidmat itu ada kecacatan dari segi Perlembagaan.
Episod itu merupakan satu lagi peristiwa buruk dalam kehakiman Malaysia. Bayangkan, hakim tidak mematuhi undang-undang dan kesucian Perlembagaan yang sepatutnya dilindungi oleh mereka.
Tapi perlu dijelaskan, bukan Raus dan Zulkefli sahaja yang dipandang serong.
Terdapat ramai lagi individu yang membenarkan Perlembagaan dicabul melalui tindakan mereka atau keengganan untuk mempertahankan perkara yang benar.
Juga termasuk dalam senarai ini adalah bekas perdana menteri Najib Razak, menteri kabinetnya dan pegawai kerajaan.
Mereka dibenarkan untuk melakukan pencabulan ini dengan menyokong atau tidak bertindak ke atas hakim kanan tersebut. Pada waktu itu hakim dalam Istana Kehakiman ini sepatutnya menggilap kelayakan mereka untuk menjalankan perubahan.
Tapi sedihnya, ramai yang tidak layak.
Dan kini muncul kempen untuk melanjutkan umur persaraan mereka dari 66 kepada 70 tahun supaya mereka tiba-tiba boleh menjadi petunjuk kepada reformasi kehakiman?
Itu samalah jika kita berkata Najib perlu diberi tempoh beberapa tahun lagi dalam tugasnya untuk melengkapkan agenda beliau.
Ia tidak masuk akal.
Rakyat Malaysia mengundi untuk membuang Umno dan Barisan Nasional kerana mereka percaya pembersihan dari masa silam ini akan membuka jalan untuk perubahan dan reformasi di Malaysia.
Sekiranya badan kehakiman diselamatkan dan dibenar untuk berkembang, ia patut dibersihkan sepenuhnya dari masa silam.
Lanjutan umur persaraan hakim yang menjadi sebahagian dari sistem lama ini tidak boleh menjadi sebahagian dari agenda reformasi. – 19 Januari, 2019.
Komen