Gudang jadi lokasi serbuan kelapan SPRM berhubung skandal SSM


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEBUAH gudang di Semenyih menjadi lokasi serbuan terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula jam 6.15 petang tadi bagi membantu siasatan ke atas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Serbuan ke atas gudang itu adalah serbuan kelapan membabitkan siasatan skandal projek melibatkan SSM yang dianggarkan bernilai RM500 juta dan merupakan lokasi ketiga sepanjang hari ini.

Sumber berkata, gudang itu juga didapati mempunyai kaitan dengan anak kepada seorang pegawai kanan SSM yang dipercayai terlibat dalam dakwaan skandal tersebut.

“Selepas menggeledah pejabat suspek di di Tamarind Square, Cyberjaya selama dua jam dan turut merampas beberapa fail, serbuan diteruskan ke gudang itu.

“Meskipun beberapa fail sudah dirampas, kami percaya saksi berkenaan masih menyembunyikan fail. Siasatan menyeluruh akan dijalankan dan tindakan lebih tegas akan diambil jika saksi ini tidak beri kerjasama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penglibatan suspek berusia 20-an itu terbongkar selepas serbuan dilakukan SPRM di tiga syarikat dan di ibu pejabat SSM, Menara SSM, Jalan Stesen Sentral 5, sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas beberapa serbuan dijalankan SPRM sejak 9 Januari lalu, anak pegawai kanan itu mula melarikan diri dan SPRM berjaya menjejakinya di salah sebuah pejabatnya di Cyberjaya petang tadi. 

Menurut sumber, satu daripada syarikat yang pernah diserbu sebelum ini juga dikatakan mempunyai kaitan dengan anak pegawai kanan tersebut.

Sumber turut berkata bahawa anak pegawai kanan terbabit disyaki terlibat dengan aktiviti rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit.

“Suspek dikatakan telah menjalankan kegiatan terbabit sejak seorang ahli keluarganya memegang jawatan di SSM.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan dan berkemungkinan suspek akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya.

Sejak 9 Januari lalu, penyiasat SPRM berkunjung ke ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan skandal projek bernilai RM500 juta.

Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin, yang bercakap di Dewan Rakyat, menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat projek berdaya saing suruhanjaya itu yang didakwa beliau mempunyai unsur rasuah ketika diberikan.

The Malaysian Insight difahamkan, SPRM telah merampas semua dokumen itu bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan run­dingan terus yang diperkatakan sebelum ini sehingga membawa kerugian di pihak kerajaan serta merupakan aktiviti penipuan terhadap orang awam.

Selain ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu empat lagi syarikat di ibu negara yang mana dua daripadanya merupakan sebuah firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut. – 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen