Pelajar pra sekolah akan belajar robotik, penerbangan dalam kurikulum baru


Christopher Rabin

Rina Mohd Harun berkata bahawa kanak-kanak akan memainkan peranan penting pada masa akan datang dan pada zaman pendidikan elektronik hari ini, tidak boleh ada kanak-kanak yang ketinggalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2019.

KERAJAAN akan memperkenalkan kurikulum pendidikan awal untuk pusat asuhan kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), dengan tujuan menggalakkan minat pelajar dalam subjek sains dan teknologi dari usia muda, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun

“Kami membuat modul yang membolehkan kanak-kanak menjalani kurikulum yang lebih menarik, dan kita berharap ia akan diperluaskan ke seluruh negara,” kata Rina pada mesyuarat agung tahunan KEMAS hari ini di Sungai Koyan 3.

Digelar sebagai program e-STREAM, modul baru itu dijangka akan dilaksanakan menjelang Julai 2019 dan akan merangkumi tema-tema seperti penerbangan, astronomi robotik dan pendidikan marin.

Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) adalah aplikasi web luar talian yang boleh diakses walaupun tanpa sambungan internet, demi memastikan pendidikan dapat diakses di kawasan luar bandar tanpa sambungan jalur lebar.

Rina berkata bahawa kanak-kanak akan memainkan peranan penting pada masa akan datang dan pada zaman pendidikan elektronik hari ini, tiada kanak-kanak yang akan ditinggalkan dalam arus tersebut.

“Kami tidak mahu anak-anak ketinggalan dalam pendidikan. Mereka perlu mendapat akses pendidikan sama ada di bandar atau luar bandar.

“Akan ada banyak program dan kita (juga) akan buat kursus-kursus secara online,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Ketua sayap wanita Bersatu itu juga turut menambah bahawa golongan wanita wajar dipuji kerana memainkan peranan besar dalam pembangunan masyarakat desa.

“50% pengundi di seluruh negara adalah wanita, manakala 70% pelajar universiti juga adalah wanita.

“Kami di Pakatan Harapan percaya wanita bukan sahaja boleh menjadi suri rumah bahkan boleh menjadi wanita bekerjaya dan mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan dalam pertumbuhan masyarakat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata modul baru itu selari dengan Pelan Pembangunan Luar Bandar Harapan (HRDP), yang merupakan pelan pembangunan jangka pendek yang disasarkan dari tahun 2018 hingga 2023.

Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh melalui enam aspek infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan, wanita dan sistem penghantaran. – 18 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen