SPRM serbu sebuah lagi syarikat, siasat skandal RM500 juta SSM


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM setakat ini telah menjalankan sebanyak tujuh serbuan dalam rangka siasatan melibatkan skandal RM500 juta SSM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sebuah lagi premis syarikat di Cyberjaya yang dikaitkan dengan skandal rasuah RM500 juta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menjadikan serbuan petang ini yang ketujuh dalam tempoh siasatan sejak 9 Januari lalu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, premis syarikat yang diserbu pukul 3.30 petang tadi milik anak kepada seorang pegawai kanan SSM yang sedang disiasat berhubung skandal tersebut.

Penglibatan anak pegawai kanan itu terbongkar selepas serbuan SPRM ke tiga buah syarikat dan ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur sebelum ini, tambah sumber.

The Malaysian Insight difahamkan lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu bagaimanapun menghilangkan diri sejak serbuan pertama pada 9 Januari lalu.

“Hari ini, kami dapat menjejakinya di sebuah pejabatnya di Tamarind Square, Cyberjaya,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber bagaimanapun belum dapat mengesahkan sama ada lelaki berkenaan akan ditahan selepas namanya juga dikaitkan dengan sebuah lagi syarikat yang diserbu SPRM sebelum ini.

“Suspek dikatakan telah menjalankan kegiatan terbabit semenjak ahli keluarganya memegang jawatan di SSM.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan dan berkemungkinan suspek akan dipanggil dalam masa terdekat ini,” katanya.

Awal hari ini, SPRM merampas dua kotak dokumen dari ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)di Cyberjaya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan ketirisan tender di SSM.

Sejak 9 Januari lalu, penyiasat SPRM berkunjung ke ibu pejabat SSM di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan skandal projek bernilai RM500 juta.

Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang bercakap di Dewan Rakyat, menyeru pihak berkuasa menyiasat projek berdaya saing suruhanjaya itu yang didakwanya mempunyai unsur rasuah semasa proses penganugerahan kontrak.

The Malaysian Insight difahamkan SPRM merampas semua dokumen itu bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan run­dingan terus yang didakwa menyebabkan kerajaan rugi serta penipuan kepada orang awam.

Sumber juga memberitahu, selain ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu empat lagi syarikat di ibu negara, termasuk firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut. – 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • felcrabina sdn bhd cawangan sabah kalau disiasat saya yakin banyak penyelewengan projek jalan luar dan pembinaan /pembaikan rumah pprt yang tidak buat ikut spesifikasi, tuntutan palsu dan dikawal oleh "pemilik beneficiari".

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan