RANCANGAN kerajaan untuk meningkatkan dan memperbaiki jangkauan internet di kawasan luar bandar merangkumi seluruh negara dan bukan semata-mata di Cameron Highlands sahaja, dan kerana itu ia tidak melanggar undang-undang pilihan raya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh.
Gobind berkata, satu pasukan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan berada di Pos Betau bagi menyelesaikan liputan internet yang lemah selepas agensi itu menerima aduan.
“Saya lihat dalam erti kata aduan tersebut dibuat kepada agensi, bukan kepada saya.
“Terdapat perbincangan yang sedang berlangsung di Pos Betau, tetapi sekali lagi saya serahkan kepada agensi untuk laksana apa yang perlu mereka lakukan,” kata Gobind ketika dijumpai sedang bersiar-siar di pasar pagi Kuala Medang hari ini.
Semalam, Gobind mengumumkan projek akan datang yang akan diusahakan oleh kementeriannya dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menaik taraf sambungan internet di seluruh daerah Jelai.
Pengumuman beliau tersebut tampil walaupun amaran diberikan oleh NGO pemantau pilihan raya Bersih 2.0 kepada pemimpin Pakatan Harapan supaya mereka mengelak berkempen dengan kapasiti jawatan menteri di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.
Gobind berkata projek dengan usaha sama antara SKMM dan TNB merupakan salah satu daripada beberapa usaha SKMM untuk meningkatkan infrastruktur jalur lebar di seluruh Malaysia.
“Jika ada aduan, tanpa mengira di mana ia berlaku, maka SKMM akan turun dan cuba selesaikan masalah itu.” kata beliau lagi. – 18 Januari, 2019.
Komen