PIHAK polis mengakui masih memburu K Pathmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, bekas suami M Indira Gandhi dan anak perempuan mereka yang dilarikan sejak sembilan tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata walaupun kenyataan media sudah dikeluarkan bagi mendapatkan kerjasama orang ramai dalam membantu mengesan Riduan, pihak polis masih gagal mengesannya.
Wan Ahmad berkata pihak polis terus memburu Riduan sejak waran tangkapnya dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di Ipoh, Perak pada 20 Mei 2014.
“Dalam masa yang sama, polis juga sudah memaklumkan kepada peguam yang mewakili Indira tentang segala langkah yang sudah diambil polis dalam usaha mengesan penama berkenaan dan anaknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Wan Ahmad memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Riduan supaya tampil bekerjasama dengan polis dalam menyelesaikan kes berkenaan.
Pada November, Indira membuat rayuan terbuka kepada ketua polis negara untuk dimaklumkan perkembangan semasa bagi usaha memburu bekas suami dan anak bongsunya Prasana Diksa, yang kali terakhir ditemui ketika berusia 11 bulan.
Ibu kepada tiga itu mencabar penukaran agama anak-anaknya kepada Islam oleh bapanya selepas bertukar agama.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama ketiga-tiga anak Indira oleh bekas suaminya itu adalah batal dan tidak sah. – 18 Januari, 2019.
Komen