Tangani ketaksamaan ekonomi ikut keperluan, bukan kaum


BARU-BARU ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan kepentingan kekayaan negara perlu diagihkan secara adil dan saksama antara semua kaum dalam usaha membangunkan negara agar semua kaum hidup bersama-sama tanpa rusuhan. 

Selepas itu, dalam satu perjumpaan beliau dengan pemimpin-pemimpin persatuan Tionghua, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada masalah semua kumpulan etnik, termasuk kemiskinan orang Melayu. 

Oleh itu, kerajaan memberi komitmen untuk membantu orang Melayu untuk berubah bagi merapatkan jurang antara Melayu dengan kumpulan etnik yang lain, maka berharap masyarakat Cina boleh bersetuju dan memahami usaha kerajaan untuk merapatkan jurang kekayaan antara kaum.

Pertama sekali, kami ingin menyatakan sokongan penuh kepada usaha dan keazaman kerajaan untuk mengurangkan jurang perbezaan kekayaan yang wujud di negara kita.

Akan tetapi, kami berpendapat ketidaksamaan pengagihan kekayaan bukan sahaja berlaku antara kaum seperti mana yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dengan agak kerap bahawa orang Melayu miskin dan orang Cina adalah kaya.

Ini sebenarnya adalah stereotaip yang lama wujud dalam masyarakat Malaysia. 

Orang Melayu lebih miskin

Perbincangan isu ketidaksamaan pengagihan kekayaan di negara ini perlu dimulakan pada zaman penjajahan British. 

Atas pelaksanaan dasar pecah dan perintah, masyarakat kita yang berbilang kaum telah dibahagikan mengikut jenis kaum dan menjalankan kegiatan ekonomi yang berlainan.

Keadaan ini menyebabkan wujudnya jurang sosioekonomi antara kaum yang ketara di mana majoriti kaum Melayu adalah tinggal di luar bandar dan hidup miskin.

Berdasarkan statistik kerajaan, didapati insiden kemiskinan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1970 adalah 49.3%.

Kadar kemiskinan kaum Melayu adalah tertinggi iaitu 64.8%, manakala kaum Cina dan kaum India masing-masing berada di 26.0% dan 39.2% pada ketika itu.

Susulan insiden rusuhan yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang dikatakan akibat daripada ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum, satu tindakan afirmatif  dilaksanakan oleh kerajaan dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970.

Ia mempunyai matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk mencapai perpaduan nasional dengan secara spesifik menyasar kepada kumpulan etnik yang paling memerlukan bantuan iaitu Bumiputera, khususnya orang Melayu.

Tidak dapat dinafikan tindakan afirmatif yang berdasarkan kaum ini mempunyai keperluannya ketika itu bagi mengatasi isu ketidaksamaan pengagihan kekayaan.

Dasar ini sedikit sebanyak telah berjaya mengurangkan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu dan merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum.

Data insiden kemiskinan membuktikan kadar kemiskinan kaum Melayu adalah semakin menurun dalam tempoh pelaksanaan DEB iaitu daripada 64.8% pada 1970 berkurangan kepada 23.0% pada 1989.

Selain itu, terdapat juga peningkatan dari segi pemilikan ekuiti korporat Bumiputera walaupun tidak mencapai sasaran 30%.

Pada 1969, pemilikan modal saham syarikat terhad pada nilai nominal Bumiputera adalah 1.5% dan meningkat kepada 21.9% pada 2008.

DEB tidak berfungsi, ketidaksamaan pengagihan kekayaan teruk dalam Bumiputera

Akan tetapi, DEB yang mempunyai tempoh pelaksaaan selama 20 tahun itu diteruskan dengan pengubahsuaian dasar-dasar selanjutnya iaitu Dasar Pembangunan Nasional (1991–2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan Model Ekonomi Baru (2011-2020) sehingga kini dan membawa kesan kepada dasar pembangunan negara.

Kelangsungan tindakan afirmatif ini sebenarnya telah semakin terpesong daripada tujuan asasnya untuk menangani ketidakadilan sosioekonomi tetapi menjadikan DEB ini satu dasar melindungi hak Bumiputera atau orang Melayu tanpa had masa.

DEB yang dipengaruhi oleh kuasa politik dan agenda politik memberi peluang Umno yang sebagai pihak berkuasa selama itu mengaut faedah kepada pemimpin Umno dan kroni mereka atas nama Bumiputera atau orang Melayu akhirnya menyebabkan dasar ini tidak berfungsi secara berkesan.

Kita sedar bukan semua orang Melayu adalah miskin dan bukan semua orang Cina adalah kaya.

Bagi mencapai pengagihan kekayaan yang adil dan saksama, kita perlu faham bahawa ketidaksamaan pengagihan kekayaan yang lebih memerlukan tumpuan khusus bukan wujud antara kaum tetapi berlaku dalam kumpulan etnik tersendiri. 

Walaupun Bumiputera mempunyai DEB sebagai sokongan, masalah ketidaksamaan pengagihan kekayaan masih wujud dalam kalangan Bumiputera.

Berdasarkan statistik dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020, walaupun insiden kemiskinan Bumiputera keseluruhan berkurangan, insiden kemiskinan dalam kalangan Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta Bumiputera di Sabah dan Bumiputera di Sarawak masih tinggi, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Seperti yang dilaporkan, pada 2014, kadar kemiskinan Orang Asli di Semenanjung adalah 34%, manakala Bumiputera di Sabah adalah 20.2% dan Bumiputera di Sarawak adalah 7.3%. 

Hal ini menunjukkan tindakan afirmatif seperti DEB yang berdasarkan kaum hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu dari kumpulan etnik tersebut sahaja.

Kami bersetuju terdapat keperluan mengekalkan tindakan afirmatif untuk golongan yang lebih lemah dan kurang berkemampuan tetapi harus berdasarkan keperluan rakyat bukannya berasaskan kaum supaya golongan yang benar-benar miskin disalurkan bantuan.

Adakah kepentingan orang Melayu akan dihakis? Di bawah tindakan afirmatif berdasarkan keperluan, sekiranya orang Melayu adalah kumpulan yang paling banyak orang yang miskin, bantuan untuk orang Melayu ini bukan sahaja tidak berkurang malah juga bertambah kerana bantuan kerajaan adalah lebih fokus.

Kami tidak impiankan masyarakat yang mempunyai satu atau dua jutawan atau billionaire tetapi masyarakat di mana semua rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang baik.

Jurang pengagihan kekayaan besar dalam kaum Cina

Seterusnya, tindakan afirmatif harus berdasarkan keperluan bukan kaum adalah kerana ketidaksamaan pengagihan kekayaan bukan hanya masalah kaum Melayu tetapi juga berlaku dalam kumpulan etnik yang lain.

Sering kali kita mendengar bahawa orang Cina adalah kaya, adakah ini realiti? Sememangnya terdapat sebahagian orang Cina adalah kaya, tetapi bukannya semua.

Kebanyakan orang tidak sedar bahawa jurang perbezaan kekayaan adalah lebih besar dalam kaum Cina berbanding kaum Melayu.

Statistik Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkenaan pekali gini mengikut kumpulan etnik menunjukkan jurang kekayaan dalam orang Cina adalah lebih ketara berbanding dengan kumpulan etnik yang lain.

Pekali gini bagi kumpulan Cina adalah tertinggi iaitu 0.411 pada 2016 manakala Melayu adalah 0.385 dan India adalah 0.382.

Ini menunjukkan jurang kekayaan kaum Cina adalah sangat luas di mana pekali gini kaum Cina adalah lebih tinggi daripada pekali gini keseluruhan Malaysia yang mencatat 0.399.  

Laporan The Edge Markets juga menunjukkan pada 2016, untuk setiap RM1 yang diperolehi oleh Bumiputera di B40, mereka yang berada di T20 memperoleh RM5.30.

Bagi kaum India pula, setiap RM1 yang diperolehi oleh India di B40, mereka yang berada di T20 memperoleh RM5.20.

Manakala bagi kaum Cina, jurang perbezaan keuntungan adalah setinggi RM5 antara B40 dan T20. Ini bermakna, bagi setiap RM1 yang diperolehi oleh Cina di B40, mereka yang berada di T20 memperoleh RM6.00!

Golongan yang biasa dipinggirkan

Di samping itu, kerajaan juga telah abaikan kepentingan masyarakat India di Malaysia. 

Walaupun dikatakan sebagai etnik ketiga terbesar di Malaysia, tetapi kaum India yang hanya merangkumi lebih kurang 7% atau 2 juta daripada penduduk Malaysia tidak menerima tumpuan dasar yang setimpal. Kedudukan masyarakat India sering dipinggirkan.

Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia menunjukkan terdapat 695,030 orang India adalah berada dalam kategori B40, iaitu 40% isi rumah terbawah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855*. 

Hal ini bermaksud lebih kurang 35% isi rumah orang India menerima pendapatan rendah.

Kita hendaklah menerima hakikat bahawa komuniti India menghadapi ketidaksamarataan dari pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial, pendidikan, status kewarganegara, pekerjaan dan lain-lain selama ini.

Pengabaian sedemikian boleh dilihat dari segi kadar pengangguran. Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2019 menunjukkan kadar pengangguran 2017 bagi kaum India adalah paling tinggi iaitu mencatat 4.7% berbanding dengan kaum Bumiputera 4.0% dan kaum Cina 2.4%.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada tahun 2007 yang dibanjiri kehadiran orang India dari seluruh negara merupakan satu manifestasi luahan ketidakpuas hati masyarakat India atas ketidakadilan terhadap mereka. 

Baru-baru ini, ramai pengguna media sosial seperti Facebook yang memuatnaik gambar diri bagi 2009 dan 2019 untuk perbandingan di media sosial.

Persoalan yang ingin kami ajukan ialah: Bagaimana dengan perbandingan kondisi masyarakat India bagi 2009 dan 2019? Sejauh mana perbezaannya?

Masalah kemiskinan ataupun pengagihan kekayaan akan dialami oleh semua orang tanpa mengira kumpulan etnik mereka sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Untuk menyelesaikan isu ketidaksamaan pengagihan kekayaan, kita mesti bermula dari langkah melaksanakan dasar ekonomi yang tidak meminggirkan kebajikan kumpulan-kumpulan tertentu masyarakat dan menolak dasar yang berasaskan kaum. – 18 Januari, 2019.

* Yasmin Saw adalah penyelidik Kajian Politik untuk Perubahan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ini penyelidikan guna sampel yang kurang tepat. Kita berpijak dibumi nyata , orang terkaya di Malaysia 1 hingga 10 semua bukan Melayu Bumiputra, pemilikan aset di bandar Melayu Bumputra hanya 5%. Pergilah di mall , kita boleh nampak sudah terang lagi bersuluh. Kerajaan dituntut adakan REVOLUSI KESEIMBANGAN EKONOMI MENGIKUT KAUM.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan