Firefly jumpa Changi mohon hak mendarat sekali lagi


Julia Yeow

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See berkata beliau optimis dengan hasil rundingan dengan Changi Airport Group bagi mendapatkan semula hak mendarat di Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2019.

FIREFLY akan meneruskan perjuangan untuk perniagaannya dengan ketua pegawai eksekutif baharu Philip See di Singapura hari ini akan mengadakan rundingan dengan Changi Airport Group (CAG) bagi mengadakan petisyen sekali lagi untuk mendapatkan hak mendarat di republik itu.

Kedua-dua negara pada masa ini dalam keadaan tegang berikutan pertelagahan ruang udara, yang menyebabkan syarikat penerbangan jarak dekat itu kerugian jutaan ringgit.

Firefly pada mulanya ditetapkan untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar Singapura bermula 1 Disember, 2018 tetapi pemeriksaan dengan pihak berkuasa penerbangan Malaysia pada Oktober tahun lalu mendedahkan bahawa Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Seletar tidak diluluskan.

Oleh itu, Firetly tidak boleh diberikan kelulusan untuk beroperasi dari Seletar. Pada masa sama, syarikat penerbangan itu hilang slot mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, di mana ia beroperasi 20 penerbangan sehari terus dari Malaysia.

See yang baru saja mengambil alih kepimpinan syarikat itu pada Januari berkata beliau kekal optimistik yang kunjungan hari ini untuk bertemu wakil dari CAG akan membawa hasil positif.

Firefly bertegas mengatakan Lapangan Terbang Seletar bertanggungjawab mendapatkan kelulusan untuk ILS itu, dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan kesukaran yang dihadapi sekarang. Oleh itu, syarikat penerbangan itu percaya ia berhak diberikan semula slot di Changi sehinggalah masalah itu diselesaikan.

“Saya optimistik tetapi semuanya tidak tentu lagi sekarang,” kata See kepada The Malaysian Insight.

Susulan mesyuarat dua hala antara menteri luar kedua-dua negara minggu lalu, Malaysia bersetuju menggantung serta-merta kawasan sekatan kekalnya di ruang udara di Pasir Gudang Johor, sementara Singapura akan menggantung pelaksanaan prosedur ILS bagi tempoh sebulan.

Firefly yang juga anak syarikat Malaysia Airlines Group mengalami kerugian RM20 juta akibat penggantungan penerbangan ke Singapura. – Gambar EPA, 18 Januari, 2019.

Kedua-dua menteri mengesahkan semula ikatan kuat antara Malaysia dan Singapura serta berjanji komitmen mereka untuk menyelesaikan perbalahan itu menerusi saluran diplomatik.

Bagaimanapun, sehari selepas mesyuarat itu, Menteri Besar Johor Osman Sapian melawat kapal Malaysia yang pada masa ini berada di perairan Singapura, mendakwa ia di dalam wilayahnya. Dengan kedua-dua negara tegang dalam isu sempadan perairan, tindakan Osman mencetuskan kemarahan pemimpin republik itu.

Akibatnya keadaan menjadi semakin tegang dan harapan tipis untuk menyelesaikan masalah bertangguh.

See sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa pihaknya menghantar surat kepada Changi pada 9 Januari untuk memperbaharui rayuannya mengembalikan slot pendaratan Firefly, menjelang mesyuarat positif antara menteri luar dua negara itu.

Katanya, CAG membalas surat itu dengan berkata permohonan sudah dimajukan kepada pihak berkuasa penerbangan Singapura untuk dipertimbangkan.

See yang juga bekas ketua strategi dan jaringan Malaysia Airlines Group (MAG) berkata beliau berharap syarikat itu dapat menyambung semula penerbangan terus ke Singapura menjelang Tahun Baharu Cina bulan depan.

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAG Izham Ismail memberitahu The Malaysian Insight bahawa Firefly yang juga anak syarikat kumpulan itu, sudah kerugian RM20 juta akibat penggantungan penerbangan ke Singapura. – 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen