SEORANG wanita yang dipercayai mangsa samun dan rogol ditemui maut di sebuah unit pangsapuri di Taman Universiti, Seri Kembangan, hari ini.
Mangsa, Jamilah Mat Sahri, 33, yang berasal dari Surabaya, Indonesia ditemui di dalam biliknya oleh adik iparnya sebaik pulang dari kerja kira - kira jam 5 petang.
Adik ipar mangsa, Surida Sadrum, 34, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh suaminya ketika berada di rumahnya di Puchong.
“Sebaik mengetahui perkara itu, saya bergegas ke rumah sewanya. Saya dimaklumkan mayat kakak ipar ditemui adik ipar saya di atas katil dalam keadaan bogel.
“Saya percaya Jamilah disamun, dirogol sebelum dibunuh kerana rumah sewanya bersepah dan barang berharga miliknya turut hilang,” katanya.
Surida berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di blok rumah sewanya mendapati Jamilah balik ke rumahnya kira-kira tengah hari tadi.
“Kebiasaannya Jamilah yang bekerja sebagai tukang cuci akan pulang ke rumah untuk menunaikan solat dan makan.
“Dia sudah lama menetap di rumah sewa ini bersama empat ahli keluarga yang lain sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian itu pada jam 7.45 malam.
“Mangsa berusia 30an itu ditemui terbaring di dalam unit rumah itu. Mangsa bekerja sebagai tukang cuci.
“Pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan,“katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. – 17 Januari, 2019.
Komen