DENGAN bersenjatakan pistol, topeng muka dan kaca mata hitam, seorang lelaki tempatan dipercayai mendalangi lebih tiga kejadian rompakan bank di Shah Alam dan Subang Jaya.
Dalam kejadian terkini hari ini, suspek melarikan wang yang dianggarkan RM40,000 dari sebuah bank di Jalan SS19/6, Subang Jaya kira-kira jam 4 petang.
Suspek yang memakai pakaian berwarna gelap serta membawa beg dikatakan menghampiri sebuah kaunter di bank berkenaan sebelum mengeluarkan sepucuk pistol.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek kemudian mengarahkan petugas kaunter memasukkan sejumlah wang ke dalam beg tersebut, namun pekerja tersebut enggan mengikut arahan suspek.
“Suspek yang berang terus melepaskan tembakan ke arah siling sebelum pekerja yang ketakutan tersebut akhirnya memasukkan wang ke dalam beg tersebut.
“Suspek terus keluar dari bank sebelum melarikan diri menuju ke lorong belakang premis berkenaan,” katanya.
Mohammad Azlin menyatakan ketika kejadian, ada empat pelanggan dan enam kakitangan di dalam bank, bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
The Malaysian Insight difahamkan ini adalah kali ketiga suspek menggunakan modus operandi yang sama untuk merompak bank.
Bagaimanapun, dalam cubaannya untuk melarikan diri kali ini, suspek tertinggal seliparnya di tepi bangunan bank dan polis turut menemui satu kelongsong peluru di lokasi kejadian. – 17 Januari, 2019.
Komen