RAKYAT Malaysia dihadapkan satu demi satu berita tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa dan menggerakkan semula siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan penyelewengan berbilion dana milik kerajaan.
Sejak 9 Mei, hampir setiap hari rakyat Malaysia berdepan dengan kejutan, yang mencetuskan rasa mual dan marah melihatkan besarnya rompakan dan pembohongan yang didakwa dilakukan oleh Najib Razak dan konco-konconya.
Apa yang rakyat Malaysia mahu sekarang ialah supaya bekas perdana menteri itu duduk di kandang orang salah dan mempertahankan dirinya daripada sehala tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram. Mereka mahu beliau disoal balas dengan tegas.
Sekiranya didapati bersalah, mereka berharap bekas perdana menteri itu akan disumbatkan ke penjara. Sekiranya tidak bersalah, beliau akan bebas.
Itu sebabnya berita bahawa Shafee Abdullah sudah membuat permohonan agar mahkamah menangguhkan perbicaraan yang pertama, daripada beberapa perbicaraan pertuduhan jenayah melibatkan Najib, akan menyebabkan rakyat marah.
Rakyat tidak akan dapat bertolak ansur dengan penangguhan yang diminta setelah bertahun-tahun ditipu tentang 1MDB dan terpaksa pula menghadam cerita dongeng yang dihamburkan oleh Najib hampir setiap hari.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali faham akan kepentingan keadilan dan sentimen orang ramai. Itu sebabnya beliau mahu perbicaraan dijalankan secepat mungkin seawal Oktober lalu bagi mendengar pertuduhan melibatkan jenayah pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Tetapi Shafee membantah, katanya kalendar beliau penuh termasuk jadual perjalanan ke luar negara.
Maka hakim pun menetapkan perbicaraan selama 43 hari bermula 12 Februari ini.
Sesetengah kes yang melibatkan Najib, ahli perniagaan Low Taek Jho dan lain-lain sangat rumit; melibatkan beratus-ratus kotak bahan bukti dan senarai saksi yang panjang.
Tetapi kes SRC tidak masuk dalam kategori kes yang rumit. Ia mudah dibuktikan. Pihak pendakwaan percaya mereka akan dapat membuktikan dengan mudah bahawa sejumlah RM42 juta diseleweng daripada SRC dan Najib adalah dalang utama komplot itu.
Itu sebabnya kerajaan memilih kes SRC sebagai yang pertama untuk dipertanggungjawabkan terhadap Najib. Ia yakin kes itu akan membawa kepada sabitan.
Shafee dan pasukannya ada enam bulan untuk menyiapkan pembelaan Najib. Sepanjang tempoh itu, mereka mempersoalkan tahap persiapan pihak pendakwaan. Mereka juga cuba mencabar kelayakan Sulaiman Abdullah sebagai ketua pendakwa.
Dan sekarang, tinggal tidak sampai sebulan sebelum perbicaraan bermula, pihak pembelaan mahukan kes ditangguh.
Kita tidak nampak bagaimana hakim boleh bersetuju dengan permohonan ini, melihatkan pada sentimen umum terhadap skandal yang meruntuhkan beberapa buah bank, mencetuskan siasatan merentas benua dan mencemarkan nama Malaysia.
Rakyat Malaysia mahu Najib dibicarakan di mahkamah segera. Mereka mahu skandal ini diputuskan dengan muktamad. – 17 Januari, 2019.
Komen