Apandi nekad rampas semula Pulau Batu Puteh


Lionel Morais

Peguam Negara Apandi Ali menegaskan perjuangan menuntut kembali Pulau Batu Puteh adalah usaha peribadinya yang akan dikenang dalam lipatan sejarah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 April, 2017.

LIMA penyelidik daripada Jabatan Peguam Negara berada di London, menyaring 30,000 dokumen sulit yang didedahkan berkenaan Timur Jauh, kerana Malaysia cuba mencari lebih banyak bukti untuk mengukuhkan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

Dokumen didedahkan kerajaan British pada 2013, lima tahun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang dikenali sebagai Pedra Branca di kalangan rakyat Singapura, kira-kira 7.7 batu nautika dari Pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

ICJ juga memutuskan Terumbu Karang Tengah milik Malaysia dan kedaulatan ke atas Tubir Selatan milik kerajaan dalam perairan wilayah di mana ia terletak.

Malaysia memfailkan permohonan pada 2 Februari, meminta mahkamah menyemak semula penghakimannya, berikutan pengubahan status dokumen British itu.

Kata Peguam Negara Mohamed Apandi Ali kepada The Malaysian Insight Malaysia, proses rayuan itu bermula apabila beliau mengambil alih jawatan pada 2015.

“British mendedahkan dokumen pada 2013, lima tahun selepas keputusan ICJ itu. Saya menyedari terdapat beberapa dokumen yang mungkin relevan dengan tuntutan kita,” kata Apandi.

Apandi mulanya menghantar dua penyelidik dari Jabatan Peguam Negara untuk melakukan kajian di Arkib Negara British di London pada Julai 2016.

Dokumen itu berkenaanTimur Jauh, mempunyai kaitan dengan India, Tanah Melayu, Singapura dan negara jajahan British lain di rantau ini.

“Orang ramai ketika itu bertanya mengapa saya hanya bertindak pada 2016 apabila dokumen didedahkan pada 2013? Ia kerana saya sibuk memastikan kedudukan saya stabil (di Jabatan Peguam Negara).

“Justeru, saya menghantar dua penyelidik dan mereka melakukan berjaya melaksanakan tugasan. Pada 3 Ogos, mereka menemui tiga dokumen pertama yang memihak kepada kita dan boleh mengubah keputusan sebelum ini.”

Apandi berkata keputusan ICJ pada 2008 adalah berdasarkan sekeping bukti tunggal – surat daripada pemangku timbalan setiausaha kerajaan negeri Johor, yang menulis kepada kerajaan British mengatakan Johor tidak menuntut kawasan itu.

“Saya tidak tahu sebab timbalan setiausaha kerajaan negeri berkata Johor tidak membuat sebarang tuntutan, sedangkan menurut sejarah, pulau itu sentiasa menjadi sebahagian daripada Johor.

“Surat itu bertarikh 1953, surat-menyurat berikutnya, kami dapati membatalkan surat sebelumnya, dan ia juga ditujukan kepada kerajaan British.

“Surat menyurat baharu itu adalah telegram sulit yang dihantar pada 1958 oleh gabenor Singapura kepada setiausaha negara British bagi negara jajahannya.

“Kandungan menunjukkan Johor sebahagian daripada Malaysia, tidak secara langsung, kerana ia sangat teknikal. Ia menggambarkan kedudukan perairan antarabangsa hanya sebatu dari Pedra Branca.

“Itu penjelasan dalam telegram sulit yang membawa kepada fakta Pedra Branca milik Johor.”

Apandi berasa terdapat banyak lagi yang perlu dibongkar di Arkib Negara British dan minggu lepas, diperkukuhkan dengan penambahan lima lagi penyelidik di sana.

Tetapi mengapa ia begitu penting untuk memenangi kes ini?

“Nombor satu, ia adalah sebahagian daripada Johor, dan Johor sebahagian daripada Malaysia. Justeru, kita perlu mendapatkan tanah kita, kedaulatan negara. Selain itu,

mana-mana pulau dalam itu adalah strategik dari segi ketenteraan, dan di pulau itu terdapat rumah api yang dibina British.

“Dari segi sejarah dan geografi, Pulau Batu Puteh hanya 7km dari Johor, dan 24km dari Singapura. Jadi, jika anda bercakap dari segi jarak, ia sebenarnya milik kita.”

Apandi berkata Singapura juga menghantar sepasukan penyelidik ke London untuk menyemak dokumen itu, sambil menambah kes ini boleh menjadi urusan yang berlarutan lama.

Malaysia melantik seorang hakim ad hoc untuk menyertai 24 panel hakim iaitu Hakim Christopher John Robert Dugard dari Afrika Selatan.

Beliau seorang daripada hakim yang memihak kepada Malaysia apabila kes itu diputuskan pada 2008.

Apandi sedang mempertimbangkan menambah seorang peguam Swiss dan beberapa peguam diraja dalam pasukannya.

Peguam negara dengan pantas menambah kes ini adalah usaha peribadinya untuk mendapatkan semula kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh.

“Selepas keputusan ICJ itu, semua orang fikir ia sudah gagal. Ini akan menjadi bersejarah, ia akan menjadi legasi saya.” – 4 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Go all out for it. Win it back for Malaysia...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan