BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Visgnaesvaran Jeyandran akan dipanggil bagi siasatan kes pecah amanah melibatkan penyelewengan sekurang-kurangnya RM100 juta dana syarikat itu, kata polis.
Polis memberitahu The Malaysian Insight, giliran Visgnaesvaran pula akan disiasat selepas beberapa kakitangan HRDF dipanggil dan dirakamkan keterangan mereka sejak serbuan ke atas ibu pejabatnya pada 11 Januari lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan setakat ini tiada yang ditahan meskipun beberapa individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan dengan kes tersebut.
“Bekas CEOnya akan dipanggil dan dirakam keterangan nanti. Sekarang ini kami ambil keterangan anak buahnya dahulu.
“Namun, tiada penahanan dibuat sehingga kini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Menurut Saiful Azly, polis masih lagi meneliti dokumen-dokumen yang dirampas dalam serbuan tempoh hari dan jika ada bukti kukuh, tindakan susulan akan diambil.
“Proses siasatan ini akan mengambil masa,” katanya.
Saiful Azly mengesahkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan berhubung kes pecah amanah.
Sementara itu, sumber berkata, segala operasi di HRDF berjalan lancar dan tiada sebarang mesyuarat tergempar mahupun penggantungan operasi dijalankan berkaitan urusan pejabat itu akibat siasatan polis.
Pada 11 Januari lalu, polis merampas berkotak-kotak dokumen dalam serbuan di ibu pejabat HRDF bagi siasatan kes pecah amanah.
Serbuan itu dilakukan susulan dari dua laporan polis berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh lembaga pengarah terdahulu.
HRDF merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Menterinya M Kulasegaran pada November lalu mendedahkan, kakitangan HRDF berpangkat tinggi dipercayai menyalahgunakan sekitar RM100 juta hingga RM300 juta dana badan tersebut.
Kulasegaran juga menubuhkan jawatankuasa pengawasan pentadbiran bebas lima anggota (GOC) untuk mengkaji dan menyiasat dakwaan berkenaan.
Vignaesvaran letak jawatan CEO HRDF pada Jun tahun lalu. – 17 Januari, 2019.
Komen