Tidak perlu wujudkan kongres khas, kata pemimpin Pemuda PKR


Looi Sue-Chern

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata tiada kewajaran menubuhkan kongres khas pada masa ini kerana parti sepatutnya memfokuskan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2017.

TIADA kewajaran bagi PKR menubuhkan kongres khas untuk membincangkan keputusan parti mengenai kerjasama dengan PAS, kata pemimpin Pemuda parti itu.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata, tiada kewajaran mengadakan kongres khas sedangkan parti sepatutnya memfokuskan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, dakwaan setiausaha agung parti Rafizi Ramli yang keputusan melibatkan parti dengan PAS dibuat oleh kumpulan yang diketuai Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali adalah “tuduhan liar” dan agak “mengejutkan”.

Katanya Rafizi mungkin tidak sedar situasi sebenar berikutan “tidak hadir mesyuarat Biro Politik sejak beberapa lama”.

“Terdapat dua perkara yang ingin saya jelaskan. Pertama sekali, tidak benar untuk menyatakan bahawa rundingan bersama PAS merupakan keputusan Azmin secara individu. Rundingan ini merupakan keputusan bersama Biro Politik PKR yang dipengerusikan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail. Usaha ini juga mendapat restu daripada Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjara.  

“Kedua, kenyataan Rafizi amatlah bertentangan dengan pendirian parti, kerana sehingga hari ini masih tidak ada kata putus untuk meletakan PAS bersama Pakatan Harapan (PH). Rundingan dan perbincangan tidak rasmi ini adalah hanya untuk mengelakan pertembungan tiga penjuru semasa PRU dan meningkatkan peluang PKR untuk memenangi pilihan raya.”

Dr Afif yang juga ketua Pemuda PH Pulau Pinang berkata “tiada asas langsung untuk memanggil satu kongres khas”.

“Ia adalah sesuatu yang mustahil untuk memanggil satu kongres khas tanpa alasan yang kukuh, bila masa semua tenaga dan gerak kerja harus ditujukan untuk persiapan menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, Rafizi sewajarnya mencadangkan kepada Setiausaha Agung Saifudin Nasution untuk memanggil mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat segera memandangkan kali terakhir mesyuarat ini bersidang adalah pada 19 Mei 2017.

Pada masa yang sama Dr Afif turut memuji sikap tenang dan rasional ahli parti serta kepimpinan dalam mengendali situasi ini.

“Parti ini telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran sejak ditubuhkan walaupun terdapat cubaan untuk memecah dan menimbulkan perbalahan,” katanya.

Situasi PAS menyebabkan ahli PKR terbahagi kepada dua kumpulan iaitu mereka yang menyokong rundingan kerjasama dengan PAS berhubung kerusi bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, dan mereka yang menentang idea itu, sejak PAS secara rasmi menamatkan kerjasama politiknya dengan PKR pada Mei tahun ini.

Semalam, Rafizi berkata satu kongres khas perlu ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah hubungan antara PAS dan kerajaan Selangor.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mempertikaikan pertembungan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada PH sekurang-kurangnya 30% sokongan Melayu berdasarkan kajian yang dijalankan Invoke.

Awal hari ini, sekumpulan akar umbi PKR – jawatankuasa bertindak PH – mengumuman dalam satu sidang media yang mereka mahu kongres khas diadakan bagi membincangkan isu PAS berikutan keliru dengan pertikaian pimpinan parti.

Pengerusi jawatankuasa terbabit Yusuf Tapar berkata mereka memerlukan sekurang-kurangnya 73 daripada 218 cabang atau satu pertiga daripada jumlah cabang PKR bagi mendesak setiausaha agung parti memanggil satu kongres khas bagi membincangkan isu yang berbangkit dan kini hanya 56 cabang yang setuju (mengadakan kongres).

Isnin lalu, Ahli Parlimen Selayang William Leong meletakkan jawatan daripada Biro Politik PKR sebagai bantahan pendirian pimpinan parti yang mahu meneruskan rundingan dengan PAS untuk menubuhkan pakatan pilihan raya.

Ahli Majlis Tertinggi PKR berkata beliau tidak bersetuju dengan usaha itu kerana sudah jelas parti Islam itu sudah berurusan dengan Umno. – 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen