Jangan ego rosakkan hubungan dengan Singapura


SAYA merasa terpanggil untuk menyampaikan pandangan berkaitan isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura yang telah menjadi berita sensasi dalam media kedua-dua negara. 

Sewaktu saya melaksanakan amanah selaku menteri luar negeri Malaysia, saya juga seringkali berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mengurus hubungan bilateral dengan negara tetangga kita. 

Walaupun banyaknya dugaan dan halangan, kita sentiasa dapat mengharungi semua ujian dengan tenang dan berkesan.

Negara jiran tetangga sering memuji kecekapan dan kebijaksanaan diplomasi yang kita tonjolkan. Sudah tentunya ia merupakan hasil rundingan dan usaha diplomatik disebalik tabir oleh pegawai-pegawai Wisma Putra yang bekerja tanpa mengira masa yang telah membuahkan kejayaan cemerlang bagi negara. 

Wisma Putra memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu rumit dunia diplomasi. Hasil rundingan di peringkat pegawai dibawa ke pertimbangan menteri luar negeri sebelum diputuskan oleh perdana menteri. 

Sekiranya kata putus gagal dicapai, maka usaha-usaha lain akan dilaksana membawa isu berkaitan ke pengadilan atau tribunal antarabangsa. Usaha seperti ini sudah tentu dilakukan secara berhemah dan bijaksana.

Kita tidak seharusnya dan dengan sewenang wenangnya melakukan sebarang tindakan provokasi atau membiarkan sesiapa sahaja tanpa maklumat serta latar belakang yang kukuh  memberikan komen tanpa memikirkan akan kesan dari tindakan seperti itu. 

Dunia diplomasi juga melibatkan aspek multilateral yang menuntut kerjasama antara negara. Kita menghargai dan memandang tinggi pada kerjasama serantau terutamanya Asean.

Singapura adalah salah satu rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu yang rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral dan antarabangsa dimana Malaysia dan Singapura mempunyai nilai-nilai persamaan. 

Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambil kira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat. Janganlah kerana keegoaan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini. – 17 Januari, 2019.

* Anifah Aman adalah ahli Parlimen Kimanis dan bekas menteri luar negeri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen