SEORANG sami ditahan susulan laporan polis mendakwa suspek melakukan seks oral terhadap dua remaja lelaki sejak Ogos tahun lalu.
Sami yang bertugas sebuah tokong Buddha di Segamat itu ditahan pada hari Selasa susulan laporan oleh dua remaja berkenaan, masing-masing berusia 16 dan 15 tahun, kata sumber polis.
Difahamkan, sepasukan polis dari Johor dan Negeri Sembilan menjejak suspek dan menahannya di sebuah tokong di sekitar Bukit Pelandok, Port Dickson, pada 12.45 tengah malam kelmarin.
Salah seorang remaja tersebut, yang berusia 16 tahun, mendakwa suspek mencabul serta memaksanya melakukan seks oral dalam sebuah bilik di sebuah tokong di Segamat.
Seorang lagi remaja yang berusia 15 tahun mendakwa turut diperlakukan tindakan yang sama di lokasi sama.
Dalam laporan polis bertarikh 14 Januari itu, remaja itu mendakwa, suspek berusia 54 tahun memberi alasan perbuatan itu adalah satu amalan kesihatan.
The Malaysian Insight difahamkan, sehingga kini hanya dua laporan polis diterima.
Sementara itu, satu kenyataan oleh Persatuan Buddha Malaysia mendakwa suspek berkenaan turut melakukan tindakan yang sama ke atas enam kanak-kanak lain.
Persatuan itu menyebut, suspek mengurus dan mentadbir enam buah tokong di sekitar Negeri Sembilan dan Johor.
Lelaki itu juga dikenakan tindakan disiplin selepas siasatan polis selesai selain dilarang terbabit dalam apa-apa aktiviti berkaitan persatuan berkenaan, menurut kenyataan itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Noor Azam Jamaluddin mengesahkan tangkapan berkenaan dan meminta individu lain yang mungkin menjadi mangsa cabul suspek supaya tampil membuat laporan.
“Mangsa mungkin tertekan atau malu tetapi jika ada laporan membolehkan polis menjalankan siasatan,” katanya.
Katanya, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – 17 Januari, 2019.
Komen