KERAJAAN akan pastikan syarikat yang menyertai tender untuk perolehan 9,000 baju kalis api bomba baharu dapat membekal pakaian keselamatan mengikut spesifikasi, kata Zuraida Kamarudin.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, beliau juga mahu pembekal tersebut bersikap profesional untuk mengelak kes perolehan baju kalis api yang tidak selamat berulang
“Jika perlu, kami akan meminta pembekal untuk membuat demonstrasi dengan memakai baju kalis api bagi memastikan ia benar-benar untuk kerja memadamkan api,” katanya.
Katanya, tender untuk perolehan 9,000 baju kalis api bomba baharu itu akan dibuka pada 23 Januari.
Ia berikutan rampasan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas 6,000 baju kalis api bermasalah dalam tender untuk perolehan tahun 2016, katanya lagi.
“Kita perlu meneliti keperluan terkini dan sebagai langkah luar jangka, kami bercadang untuk meningkatkan bekalan ke 9,000 unit baju kalis api bagi memenuhi keperluan semua balai bomba dan penyelamat di seluruh negara,” katanya.
Katanya, bekalan baju kalis api itu bakal diedarkan ke semua balai bomba dan penyelamat menjelang Februari.
Sejak masalah timbul akibat perolehan 6,000 baju kalis api bermasalah itu KPKT tidak membuka tender baharu untuk pembelian baju kalis api, katanya.
Akibatnya anggota bomba dan penyelamat kekurangan pakaian memadam kebakaran dan terpaksa berkongsi baju kalis api usang atau menggunakan baju yang telah koyak, katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas melancarkan program Property Hot Seat di Wisma Bernama, hari ini.
Siasatan SPRM ke atas sampel baju kalis api dalam perolehan tahun 2016 itu mendapati bahan yang digunakan untuk baju tersebut mudah terbakar.
Suruhanjaya itu semalam mengumumkan siasatan Jabatan Kimia mengesahkan baju itu tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard yang ditetapkan jabatan bomba.
Kira-kira 6,000 unit pakaian yang bernilai antara RM2,400 hingga RM2,500 unit tersebut dirampas SPRM pada tahun 2017. Tempahan susulan bagi bekalan itu juga dibatalkan.
Difahamkan, baju kalis api yang digunakan seluruh pegawai dan anggota bomba seluruh negara kini berusia antara lima hingga 10 tahun. – 17 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jericho ling ling · Ulasan