SIASATAN dakwaan wujud cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu sudah selesai, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah SPRM Perak, Zainul Darus berkata kertas siasatan diserah kepada ibu pejabat dan setakat ini lebih 10 saksi sudah dipanggil dan dirakam keterangan berhubung isu berkenaan.
“Ibu pejabat SPRM akan meneliti kertas siasatan sama ada perlu untuk mendapatkan bukti baharu atau keterangan sedia ada sudah mencukupi.
“Selepas berpuas hati dengan hasil siasatan, kami menghantar kertas siasatan ke ibu pejabat SPRM awal bulan ini,” katanya.
Siasatan itu dijalankan susulan dakwaan yang dibangkitkan awal bulan lalu oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad.
Beliau mendakwa seorang anggota exco Perak, Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari merupakan individu yang menjadi dalang untuk menjatuhkan menteri besar.
Susulan dakwaan itu, Aziz yang juga naib pengerusi DAP negeri, dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 5 Disember lalu.
Selain itu, Saarani dan lima Adun Umno turut dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Perak berhubung isu sama.
Lima Adun berkenaan membuat akuan bersumpah (SD) bahawa mereka ditemui oleh seorang exco kerajaan negeri untuk menyingkirkan Faizal.
Mereka adalah Adun Rungkup, Shahrul Zaman Yahya; Sham Mat Sahat (Alor Pongsu); Khairul Shahril Mohamed (Bota); Maslin Sham Razman (Bukit Chandan); dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).
Siasatan terhadap kes itu dibuat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Zainul berkata, pihaknya hanya menjalankan siasatan dan terserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan.
“Perkara ini dianggap sebagai isu sensitif dan berprofil tinggi tetapi kami berjaya menyelesaikan siasatan dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk melakukan siasatan semula termasuk mengambil keterangan saksi baharu atau memanggil semula saksi sebelum ini jika dikehendaki. – 16 Januari, 2019.
Komen