Pemuda Umno tak halang Najib kempen di PRK


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki ketika bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Januari, 2019

PEMUDA Umno tidak akan menghalang bekas perdana menteri Najib Razak untuk berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands, kata ketua pergerakan itu, Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, Najib Razak berhak berkempen untuk kemenangan calon Barisan Nasional dan untuk memenuhi hasrat penyokong dalam kempen pilihan raya kecil itu.

“Najib rakyat Malaysia, kalau dia rakyat Malaysia dia berhak untuk berbuat apa-apa kerana ini sistem demokrasi.

“Bagi saya itu permintaan mereka, Pemuda Umno tidak berhak menghalang sesiapa. Ini adalah negara yang demokrasi.

“Sesiapa (pun) boleh berkempen asalkan dibuat dengan cara penuh tertib mengikut undang-undang,” kata Asyraf dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Kehadiran Najib dalam siri kempen pilihan raya kecil disertai BN dalam penggal ini menimbulkan kontroversi kerana didakwa menenggelamkan peranan presiden baharu, Ahmad Zahid Hamidi.

Malah bekas presiden Umno itu juga dilihat lebih lantang bersuara menyerang kerajaan Pakatan Harapan melalui kenyataan di media sosial setiap hari.

Mengulas lanjut, Asyraf juga berkata kedatangan Najib itu akan dialu-alukan warga peneroka Felda di kawasan DUN Jelai yang menurutnya terhutang budi pada bekas perdana menteri itu.

“Saya sudah berada di sana beberapa kali. Bila saya pergi Felda Sungai Koyan, bila saya masuk ke sana ramai di kalangan mereka minta agar kalau boleh Najib jenguk mereka, kalau tak berceramah pun tak apa,” katanya.

Mengulas berhubung calon bagi PRK DUN Semenyih, Asyraf berharap cadangan meletakkan calon muda akan diterima pucuk pimpinan parti.

Namun begitu, penetapan calon bagi kerusi itu katanya akan ditentukan melalui kaji selidik yang dijalankan parti di kawasan tersebut.

“Kita nak tahu sentimen daripada rakyat bukan sentimen syok sendiri daripada Pemuda,” katanya.

Sementara itu, sayap Pemuda Umno juga katanya akan menubuhkan seketariat pemantau harga barang yang membuat pemantauan secara bulanan.

Seketariat itu katanya akan memantau barangan keperluan asas dan menguar-uarkan harga barangan berkenaan menggunakan laman media sosial.

“Tidak ada strategi dan mekanisme berkesan kerajaan yang janji bulan dan bintang. Kita perlu zahirkan kepada kerajaan rakyat tak boleh ditipu. Kita akan uar-uarkan setiap bulan di media sosial. 

“Kita nak bantu menteri, mungkin dia tiada masa. Kita nak pastikan maklumat tepat sampai kepada beliau,” kata Asyraf lagi. – 16 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen