PEMUDA Umno akan menumpukan kempen di DUN Tanah Rata untuk memastikan undi masyarakat Cina dan India kekal kepada Barisan Nasional, kata ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, Tanah Rata juga ditumpukan kerana Pakatan Harapan kelihatan begitu yakin dapat mengekalkan pengaruh di kawasan Dun dalam Parlimen Cameron Highlands itu.
“Kami akan memberikan fokus yang banyak kepada Tanah Rata supaya kita akan pastikan undi Cina dan kaum India dapat kita perolehi pada peratusan yang menggalakkan untuk membolehkan kita menang selesa di PRK Cameron Highlands,” kata Asyraf.
Tambahnya, Umno akan mendapat kelebihan kerana dapat membangkitkan mengenai janji-janji yang tidak ditunaikan PH dalam kempen di kawasan itu.
Katanya, PH kini seolah-olah yakin mampu memenangi undi dari kawasan Tanah Rata, yang majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Cina dan India.
“Tapi (PH) lupa bahawa sebenarnya terlalu banyak isu-isu yang perlu kita (bangkitkan untuk) dekati kaum Cina dan India.
“Ini menunjukkan bahawa banyak sekali penipuan-penipuan dan janji-janji palsu yang selama ini didambakan oleh mereka tidak ditunaikan,” kata bekas timbalan menteri itu lagi.
Tanah Rata dikekalkan DAP dalam pilihan raya umum ke-14 dengan majoriti tipis kira-kira 3,600 undi. Selain MCA, kawasan itu juga ditandingi PAS yang mempertaruhkan calon bukan Islam.
Selain Tanah Rata, satu lagi kawasan yang menjadi tumpuan Pemuda Umno adalah Dun Jelai, kawasan yang disandang Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kita akan selaraskan dengan pemuda negeri daripada seluruh Malaysia untuk kita berkampung di Cameron Highlands di dua DUN di Tanah Rata dan Jelai.
Asyraf berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra. – 16 Januari, 2019
MENYUSUL
Komen