BN tak patut guna dewan JKKK, kata jentera PH


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dewan orang ramai di Felda Sungai Koyan 3 yang didakwa digunakan oleh Barisan Nasional untuk berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands.– Gambar The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019

PEMIMPIN jentera Pakatan Harapan (PH) membuat laporan ke atas Barisan Nasional (BN) yang didakwa menyalahguna bangunan kerajaan di Cameron Highlands untuk berkempen.

Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai, Arvind Bharet dalam laporannya mendakwa perbuatan itu dikesan berlaku di sebuah dewan orang ramai di Felda Sungai Koyan 3.

Katanya, tinjauan di dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu mendapati kemudahan tersebut antara lain digunakan sebagai pusat gerakan jentera BN.

Pasukannya juga menemui bendera BN dalam dewan yang terletak bersebelahan dengan pejabat cawangan Umno di situ, katanya.

“Pejabat Umno dan dewan JKKK itu sentiasa dibuka dan hanya mereka yang terbabit dengan parti terbabit keluar masuk kawasan berkenaan, bukannya orang ramai.

“Malah kami difahamkan dewan itu dijadikan pusat gerakan operasi jentera BN untuk (pilihan raya kecil) kali ini,” katanya.

Beliau juga mendakwa, beberapa orang petugas jentera BN juga keluar masuk ke bangunan dewan tersebut semalam dalam tinjauan pada Isnin lalu.

Arvind berkata, beliau membuat laporan di balai polis Sungai Koyan berhubung kes itu semalam kerana infrastruktur kerajaan tidak patut sama sekali digunakan untuk tujuan kempen parti.

Beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan itu. – 16 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen