SEORANG wanita disiasat kerana didakwa memberi wang kepada sukarelawan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata wanita berkenaan tampil memberi kenyataan di bilik gerakan suruhanjaya itu di Tanah Rata semalam.
“Kami perlu menyiasat sama ada pemberian wang itu adalah rasuah atau sebaliknya,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Wanita berkenaan memberi keterangan selama tiga jam sejak jam 7 petang semalam, katanya lagi.
Selain itu, SPRM Perak juga difahamkan memanggil beberapa saksi lain bagi membantu siasatan termasuk individu yang didakwa terlibat dalam kejadian tersebut.
Namun Pengarah SPRM Perak, Zainul Darus enggan mengulas lanjut berkaitan isu berkenaan kerana siasatan masih dijalankan.
“Biarlah siasatan dilengkapkan dahulu dan memohon isu ini tidak dispekulasi,” katanya ketika dihubungi.
Siasatan itu susulan penularan gambar menunjukkan wanita berkenaan memberi wang kepada sekupulan sukarelawan sewaktu kempen PRK tersebut.
Dalam gambar tersebut, wanita berkenaan memakai baju parti PH.
Susulan itu, beberapa individu tampil membuat laporan polis mendakwa PH terlibat dengan rasuah pilihan raya.
Sementara itu, pemimpin jentera PH di Cameron Highlands ketika dihubungi berkata parti itu sedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM.
Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai, Arvind Bharet berkata beliau yakin jentera parti itu berada di pihak yang benar dalam kes tersebut. – 16 Januari, 2019.
Komen