Bersatu Selangor teliti calon PRK Semenyih, elak parti berontak


SM Amin

Bersatu Selangor akan meneliti calon untuk PRK Semenyih bagi memastikan ia tidak menimbulkan rasa tak puas hati ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

PEMILIHAN calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih akan dibuat secara teliti bagi mengelakkan parti berpecah, kata Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli.

Shaid berkata sekiranya timbul masalah pemilihan calon ia akan menimbulkan pemberontakan dalam pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Dalam mesyuarat kita akan teliti perkara ini supaya semua pihak boleh terima keputusan yang dipilih oleh pucuk pimpinan. 

“Kita pun tidak beri harapan kepada sesiapa untuk jadi calon kerana kita tidak mahu mereka kecewa bila tidak dipilih.

“Bersatu akan ada pemilihan parti tidak lama lagi, jadi pemilihan calon ini perlu dibuat secara teliti untuk mengelak pemberontakan. Ini akan memberi kesan,” katanya kepada pemberita.

Bersatu Selangor yang diberi mandat untuk mengenalpasti calon tersebut akan bermesyuarat pada 21 Januari 2018, katanya.

Menurutnya lagi, mesyuarat tersebut antara lain akan membincangkan kriteria calon, tapisan calon, strategi parti.

“Kita akan ada taklimat khas kepada semua ketua bahagian. Semua ketua bahagian akan ambil satu PDM (pusat daerah mengundi) sebagai PDM angkat dan sebagainya. Kebiasaannya begitulah.”

Adun Jeram itu turut menegaskan apa jua keputusan PRK Cameron Highlands 26 Januari depan tidak akan memberi sebarang kesan kepada PRK Semenyih.

Bacaan ke atas peluang PH untuk menang di Semenyih perlu mengambil kira faktor calon dan pengaruh parti tersebut di kawasan itu selama ini, tambahnya.

“Peluang untuk menang itu ada. Kalau ada satu dua isu itu perkara biasa. Saya yakin sebab majoriti kita 8,000 lebih.

“Di DUN Semenyih kita menang semua termasuk kawasan Parlimen. Cuma kalau orang tidak keluar mengundi, mungkin majoriti akan berkurangan,” ujarnya.

Bersatu mewakili Pakatan Harapan mahu mempertahankan kerusi Semenyih yang dimenanginya dengan majoriti besar pada PRU14 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2019.

Mengulas mengenai kemungkinan Umno akan meletak calon muda dan baharu dalam PRK Semenyih, Shaid berkata setiap parti berhak merangka strategi masing-masing.

Bersatu mempunyai cara tersendiri memilih calon dan akan mengambil kira potensi calon muda dan juga calon yang berpengalaman.

“Pemuda Selangor hendak muka baru mungkin menjenamakan semula imej mereka. Kita masih belum putuskan lagi. Bergantung kepada keadaan. 

“Kadang-kadang orang baharu pun ada bagusnya tetapi yang lama ada pengalaman dan berpengaruh. Kita kena ambil kira semua aspek,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan seragam sekolah kepada 1600 murid di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3, pagi ini.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lepas, Bakhtiar menewaskan tiga calon lain, Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.

Bakhtiar, yang juga ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat, memperoleh 23,428 undi. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen