Azeez berdepan 15 tuduhan ubah wang haram, rasuah


Bede Hong

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa dengan 15 pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Januari, 2019.

BEKAS pengerusi Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim minta dibicarakan untuk 15 pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Azeez mengaku tak bersalah untuk sembilan pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan rasuah.

Sementara abangnya, Abdul Latiff Abdul Rahim pula minta dibicarakan atas dua pertuduhan bersuhabat dengan Azeez untuk menerima rasuah.

Azeez dibebaskan dengan ikat jamin RM800,000 dan Latiff dengan ikat jamin RM500,000.

Azeez dan Latiff kedua-duanya kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

Peguam mereka, Hisyam Teoh tidak membantah permohonan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram supaya pasport Azeez dan Latif diserahkan kepada mahkamah. 

Hisyam juga tidak membantah permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes ke mahkamah tinggi.

Hakim Azura Alwi menetapkan pendengaran kes pada 27 Mac.

Azeez dituduh menerima suapan RM139.4 juta antara Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018 daripada empat syarikat- Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP (M) Engineering Sdn Bhd.

Azeez didakwa dengan sembilan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda RM5 juta jika sabit bersalah.

Azeez juga dituduh menerima RM5.2 juta lagi dalam tiga kejadian berasingan antara Disember 2010 hingga April 2018 sebagai habuan meluluskan projek kerajaan.

Beliau didakwa dengan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda suapan. – 16 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen