BEKAS ketua polis negara, Abdul Rahim Noor mendesak kerajaan mengkaji semula pemansuhan hukuman mati seperti diputuskan Kabinet pada Oktober tahun lalu.
Menurut beliau, ia akan menyebabkan kadar jenayah di negara ini bertambah kerana penjenayah beranggapan mereka tidak akan dikenakan hukuman mati.
Justeru, Rahim meminta kerajaan mengadakan referendum bagi mengetahui pandangan rakyat mengenai pemansuhan hukuman itu yang diyakini hanya memberi kepentingan kepada banduan.
Ini kerana, sebelum hukuman itu dihapuskan tiada soal selidik dilakukan bagi mengetahui hasrat dan pandangan orang ramai.
Menurutnya, beliau secara peribadi tidak bersetuju dan terkilan dengan keputusan kerajaan sekiranya hukuman berkenaan dihapuskan.
“Berani buat, berani tanggung. Sekiranya terbukti pesalah terbabit melakukan pembunuhan, hukuman setimpal perlu dikenakan sama seperti membunuh,” katanya pada sidang media khas berhubung isu hukuman mati.
Menurutnya, sesetengah negara di Asia masih mengguna pakai hukuman mati terhadap pesalah yang melakukan pembunuhan.
Katanya, budaya di negara Asia memandang berat nyawa mangsa selain perasaan ahli keluarga yang terbabit dalam pembunuhan.
Rahim berkata, mereka tidak boleh samakan negara Asia dengan beberapa negara lain seperti Eropah dan Amerika Syarikat yang memansuhkan hukuman mati.
Beliau turut mempersoalkan keadilan kepada mangsa sekiranya penjenayah terbabit tidak dikenakan hukuman mati setimpal dengan perbuatannya yang bertindak sama ada menembak, mencekik atau menikam mangsa.
“Sekiranya penjenayah terbabit hanya dikenakan hukuman penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup, apa perasaan ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang,” soalnya.
Menurut Rahim, kewujudan peruntukan hukuman mati dalam undang-undang boleh menjadi benteng yang mencegah manusia daripada melakukan pembunuhan.
“Bila kerajaan hapuskan terus hukuman mati, benteng pencegahan itu turut terhapus dan kita hanya dapat bergantung pada kekuatan moral dan agama untuk menghalang kemungkinan jenayah itu daripada berlaku.
“Apa lagi benteng yang ada untuk kita mencegah manusia daripada membunuh?” soalnya.
Pada 13 November lalu, Kabinet memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu.
Akta tersebut terdiri daripada Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961 dan Akta Angkatan Tentera 1972.
Selain itu, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 antara lapan akta tersebut. – 15 Januari, 2019.
Komen