PENYELAM Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan Kor Marin menemukan baki lapan lagi mayat kelasi kapal USS John S McCain di dalam kapal tersebut, menurut Armada Ketujuh AS hari ini.
Dua mayat anak kapal yang hilang dijumpai minggu lepas.
Kapal pemusnah peluru berpandu itu berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC di perairan timur Selat Melaka dan Singapura pada 21 Ogos lepas.
Kejadian itu sedang disiasat bagi menentukan fakta dan keadaan pelanggaran menurut Tentera Laut AS dalam laman webnya.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata usaha pencarian di dalam kapal itu ditamatkan selepas Tentera Laut AS mengumumkan semua 10 kru kapal yang hilang sudah ditemui.
Singapura sebelum ini menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat dengan AS, Australia, Indonesia dan Malaysia yang meliputi kawasan seluas 5,524 kilometer persegi.
Operasi berkenaan melibatkan lebih daripada 300 anggota daripada agensi Singapura termasuk MPA dan Angkatan Tentera Singapura (SAF), Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Operasi yang diketuai Singapura itu ditangguh pada jam 9 malam 24 Ogos lalu selepas Tentera Laut AS mengumumkan penggantungan usaha mencari dan menyelamat untuk memberi tumpuan kepada pencarian di dalam kapal itu.
Singapura terus menyokong Tentera Laut AS dalam pencarian di dalam kapal di Pangkalan Tentera Laut Changi sehingga semua anak kapal yang hilang dijumpai. – Bernama, 28 Ogos, 2017.
Komen