Pendeposit masih percaya pada Tabung Haji, kata CEO


Mohd Farhan Darwis

TABUNG Haji yakin pendepositnya masih percaya kepada badan pengendali ibadah haji itu, kata ketua pegawai eksekutifnya Zukri Samat.

Ini memandangkan TH mengalami peningkatan deposit sebanyak RM1 bilion sehingga Disember 2018, walau dirundung kontroversi berikutan defisit sebanyak RM4.1 bilion yang ditanggung, katanya.

“Pengeluaran keluar deposit sebanyak RM73.5 bilion pada Disember 2018, tetapi pada masa sama sejumlah RM74.5 deposit baru masuk,” katanya yang juga pengarah urusan kumpulan.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 31,580 akaun dibuka oleh pendeposit baharu.

“Kami tidak melihat pengeluaran besar-besaran oleh pendeposit, termasuk ketika isu berkenaan TH diperkatakan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat TH di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa pada bulan lalu mendedahkan, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 kerana agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Zukri turut berkata, kadar kos bagi menunaikan ibadah haji tidak berubah dan kekal pada kadar RM9,980.

Susulan isu melibatkan TH itu, status halal hibah yang diberikan kepada pendeposit turut dipersoalkan orang ramai.

Mujahid bagaimanapun pada 8 Januari lalu berkata, pendeposit tidak perlu memulangkan kembali hibah yang diterima memandangkan ia hanya membabitkan peringkat pengurusan tertinggi badan tersebut.

Penerima katanya tidak mengetahui mengenai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan institusi kewangan Islam itu dan tindakan memulangkan semula wang hibah hanya akan menimbulkan kesukaran. – 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen