Jangan harap hibah tinggi, kata Tabung Haji


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Zukri Samat ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di bu pejabat agensi itu di ibu negara hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 Januari, 2019

TABUNG Haji akan bayar hibah kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2018, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Zukri Samat.

Bagaimanapun agihan hibah itu bukan dalam jumlah yang besar, kata Zukri yang juga pengarah urusan kumpulan TH.

Pembayaran hibah itu dapat dilaksanakan selepas TH selesai menyerahkan aset yang tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) hujung Disember lalu.

“Kami dapat mengembalikan kedudukan penyata kewangan TH, dengan ini kami mampu membayar hibah bagi 2018.

“Jumlahnya bergantung kepada prestasi kewangan kami, tapi jangan mengharap terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat TH di Kuala Lumpur.

Zukri turut menjangkakan keadaan akan bertambah baik bagi agensi pengendali ibadah haji itu untuk tahun kewangan 2019.

Bagi menambah baik ketelusan, Zukri berkata pengurusan TH juga akan menyediakan perkembangan berkala setiap suku tahun prestasi mereka kepada pendeposit.

Pada 11 Disember lalu, Zukri mengumumkan TH akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV bagi memperbaiki kedudukan kewangannya.

Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

SPV itu kemudiannya akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion.

Dalam sidang medianya, Zukri berkata, TH memindahkan 106 ekuiti domestik tersenarai kepada SPV itu, merangkumi 10 akaun mencatatkan kerugian tertinggi sekitar RM4.6 bilion.

Akaun berkenaan termasuklah dari sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah, dan pembinaan.

“Kerugian ditanggung adalah 51% daripada harga pasaran,” katanya.

Selain itu, TH turut memindahkan sebuah ladang dan 29 hartanah dan tanah kosong yang tidak berhasil, termasuk sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli pada tahun 2015 sebanyak RM189 juta.

“Bagi tanah TRX kami menerima kadar premium,” kata Zukri.

Dalam sidang medianya, Zukri turut mengakui terdapat sesetengah aset yang dipindahkan kepada SPV mempunyai potensi dalam jangka masa panjang, namun TH tidak mampu menunggu lama.

“TH tidak mempunyai masa untuk menunggu, kami perlu mengembalikan keyakinan pendeposit kepada kami,” katanya.

Antara aset yang dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd (Urusharta) yang dikatakan mempunyai potensi adalah UEM Sunrise Bhd, Malakoff Corp Bhd, FGV Holdings Bhd.

“Sesetengah aset ini mempunyai potensi dalam jangka masa panjang, tetapi dengan sentimen yang lemah sukar untuk dipastikan bila mereka akan pulih,” katanya lagi.

Isu berkaitan TH timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mendedahkan pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan bekas Pengerusi TH, Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengatakan dakwaan itu tidak tepat. – 15 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen