Hubungan PKR-PAS akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden, kata Dr Mahathir


Melati A. Jalil

Dr Mahathir ketika ditemui pada majlis makan malam mengumpul dana yang diadakan di Gombak malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Ogos, 2017.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan hubungan antara PKR dan parti Islam PAS, kata Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada beliau setuju dengan pendirian PKR yang mahu mengadakan perbincangan dengan PAS, dan berkata beliau perlu tanya timbalan pengerusi PKR Azmin Ali berhubung perkara itu.

“Esok (hari ini) kami akan adakan mesyuarat majlis presiden dan kami akan tentukan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majis makan malam untuk mengumpul dana di Gombak malam tadi.

Beliau juga enggan mengulas mengenai cadangan Rafizi Ramli awal hari ini untuk menubuhkan kongres khas bagi menyelesaikan masalah yang menyebabkan perpecahan serta kekeliruan dalam kalangan penyokong akar umbi.

Azmin sebelum ini berkata, pimpinan PKR mahu “pintu terbuka” kepada PAS walaupun parti Islam itu mahu meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Selangor.

PKR cuba mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan Umno dan PAS pada pilihan raya akan datang, yang akan memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada Umno. Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkata beliau sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum ke-14 bagi menumbangkan kerajaan BN.

William Leong yang merupakan ahli majlis tertinggi PKR meletakkan jawatan daripada biro politik parti itu sebagai membantah tindakan parti itu yang terus cuba memenangi PAS.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata kepada ahli Bersatu, mereka mesti bersedia berkorban dan bekerja keras dalam usaha menentang kerajaan BN.

Katanya, Bersatu tidak boleh berdepan pilihan raya umum secara sendirian dan berdepan dengan 13 parti dari BN tanpa sekutunya dalam Pakatan Harapan.

“Untuk melakukannya, kita mesti bersedia berkorban dan berkompromi dengan rakan kita.

“Kerjasama bermakna kita sanggup mengorbankan hak untuk berbuat demikian bagi membolehkan pihak lain mendapat hak mereka.

“Kita perlu berkorban bagi membolehkan kita mendapat kuasa dan hak kita dalam cara yang adil,”  katanya.

Sementara itu, dalam pesanan sempena Merdeka, Mahathir berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk melihat Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-60, dan berkata rakyat perlu bersyukur negara ini tidak terjerumus ke dalam kancah peperangan untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau turut menyindir Perdana Menteri Najib Razak dan berkata negara tidak pernah berdepan masalah pentadbiran ketika cuba mencapai kemerdekaan.

 “Kita memilih sistem demokrasi kerana kita percaya mereka yang dipilih merupakan orang yang bertanggungjawab, tapi kini kita sedar sistem demokrasi tidak menjamin untuk kita mendapat pemimpin yang baik.

“Adakalanya kleptokrat masih boleh menang,” katanya. – 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen