Anak Karpal saman ketua hakim negara


Ketua Hakim Richard Malunjum didakwa gagal mengarahkan siasatan terhadap tuduhan campur tangan kehakiman dalam dua kes iaitu rayuan Karpal Singh berhubung kes hasutan dan kes Indira Gandhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

ANAK Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo memfailkan saman terhadap Ketua Hakim Negara Richard Malanjum mendakwa beliau gagal menjalankan tugas sebagai ketua badan kehakiman.

Saman difailkan hari ini melalui Tetuan Karpal Singh & Co.

Dalam saman pemulanya, Sangeet mendakwa Malunjum gagal mengarahkan siasatan terhadap tuduhan campur tangan kehakiman dalam dua kes iaitu rayuan ayahnya berhubung kes hasutan dan kes Indira Gandhi. 

“Adalah diharapkan Badan Peguam Malaysia juga akan mengambil pendirian dalam perkara ini yang merupakan dakwaan serius terhadap integriti dan kredibiliti Badan Kehakiman Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Karpal meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 17 April 2014.

Beliau didakwa atas akta hasutan kerana mengatakan penyingkiran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak oleh Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai ganti, boleh dipertikaikan di mahkamah.

Pada 21 Februari 2014, Mahkamah Tinggi mendapati Karpal bersalah. Pada 30 Mei 2016, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut.

Sangeet, yang juga seorang peguam, memohon perintah bahawa dirinya berhak mendapat maklumat mengenai siasatan dalaman yang dijalankan oleh badan kehakiman dalam kedua-dua kes itu.

Sangeet memfailkan saman pemula berhubung dakwaan bekas hakim Mahkamah Rayuan Haji Hamid Sultan Abu Baker pada 16 Ogos tahun lalu bahawa beliau ditegur oleh seorang hakim tertinggi kerana keputusannya yang bertentangan dengan majoriti keputusan hakim-hakim lain dalam kes pertukaran agama anak Indira Gandhi pada 2016.

Hamid yang menyebut perkara itu pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2018, dilarang daripada mendengar kes yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan perkara kepentingan awam.

Sangeet berkata beliau memfailkan saman pemula terhadap ketua hakim negara kerana gagal menjalankan atau menyempurnakan siasatan dalaman terhadap dua kes campur tangan kehakiman itu.

Malanjum dilantik sebagai ketua hakim negara pada 11 Julai tahun lalu bagi menggantikan Md Raus Sharif. – 14 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen