Serangan pengebom bunuh diri sebabkan 13 terbunuh di Afghanistan


Tentera dan polis Afghanistan seringkali menjadi sasaran serangan Taliban, membunuh hampir 7,000 orang tahun lepas. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2017.

SEORANG pengebom bunuh diri Taliban meletupkan dirinya, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan ramai yang lain dalam satu serangan yang ditujukan kepada konvoi tentera Afghanistan di daerah Helmand, Ahad lalu.

Ia adalah serangan terbaru yang mensasarkan pasukan keselamatan Afghanistan ketika negara itu masih bergelut dengan konflik keganasan.

“Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya dalam sebuah kereta penuh bahan letupan ketika konvoi Tentera Nasional Afghan melintasi sebuah pasar kecil di Daerah Nawa, Helmand,” kata Omar Zwak, jurucakap kerajaan tempatan kepada AFP.

Katanya, antara yang terbunuh adalah orang awam dan tentera dan ramai lagi cedera.

Sumber memberitahu AFP yang mayat 15 mangsa sudah dibawa ke hospital, manakala 19 orang lagi sedang dirawat kerana cedera terkena letupan. Kebanyakan yang terbunuh adalah tentera, sementara yang cedera kebanyakannya orang awam.

Taliban mengaku bertanggungjawab ke atas serangan terbaru itu dalam satu mesej WhatsApp kepada wartawan di negara itu.

Serangan itu adalah yang terbaru, berlaku beberapa hari selepas seorang lagi pengganas Taliban meletupkan dirinya membunuh lima orang awam dan mencederakan ramai yang lain apabila dia meletupkan sebuah kereta di ibu pejabat polis di Lashkar Gah, ibu kota Helmand.

Pasukan keselamatan negara itu seringkali menjadi sasaran dan menurut NGO, Sigar, jumlah kematian polis dan tentera adalah sebanyak 6,800 kes meningkat 35% pada 2016.

Sejak 1 Januari sehingga 8 Mei lalu, seramai 2,500 tentera dan polis Afghanistan terbunuh.

Orang awam turut menjadi mangsa dalam perang negara itu yang sudah berlaku sejak 16 tahun lalu.

Dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja, 1,662 orang awam terbunuh dan lebih 3,500 cedera menurut PBB. –  AFP, 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen