KERAJAAN masih lagi dalam perbincangan untuk meminda dan memansuhkan beberapa undang-undang bersifat drakonian, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Hasutan 1948, kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
Perbincangan itu melibatkan kementeriannya dengan pihak berkepentingan termasuk pelbagai agensi dan badan masyarakat seperti Suaram, Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), katanya.
“Beri sedikit masa dan bersabar. Hari ini saya akan menghadiri taklimat pegawai kementerian untuk meminda atau memansuhkan akta-akta yang saya sebutkan termasuk Sosma, Akta Hasutan dan beberapa akta lain,” kata Muhyiddin, dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian berdasarkan apa-apa kenyataan yang dibuat setakat ini, kerana perkara tersebut masih dalam perbincangan.
Selepas perbincangan itu selesai, dan setelah mengambil pandangan Jabatan Peguam Negara, Muhyiddin berkata, beliau akan mengangkat apa saja cadangan yang diputuskan kepada kabinet.
“Pada pendapat saya, lebih baik kita tunggu selesai prosesnya, daripada draf, sehingga pindaan itu selesai,” tambahnya.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas status akta-akta tersebut yang dijanji akan dimansuhkan oleh Pakatan Harapan apabila jadi kerajaan. – 14 Januari, 2019
MENYUSUL
Komen