Kes mahkamah tidak jejas kagum rakyat pada Najib


SM Amin

Bekas perdana menteri Najib Razak pada sesi dialog bersama penduduk dalam siri jelajah "Legasi Datuk Seri Najib Tun Razak" yang diadakan di Residensi Kerinchi di Kampung Kerinchi, di pinggir Kuala Lumpur petang semalam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Januari, 2019

BAKRI Kromo cukup teruja mendengar bekas perdana menteri Najib Razak datang ke kawasan perumahannya di Residensi Kerinchi di Kampung Kerinci, di pinggir Kuala Lumpur petang semalam.

Bahawa Najib ditolak oleh rakyat terbanyak dalam pilihan raya umum lapan bulan lalu dan sekarang berdepan 38 tuduhan di mahkamah, tidak sedikit pun menjejaskan rasa kagum lelaki berumur 75 tahun itu pada bekas perdana menteri.

“Pakcik turun sebab dengar Najib hendak datang. Rumah ini dulu atas usaha dia sebab itu turun hendak ucap terima kasih dan menyokong beliau,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dua tahun lalu, Najib datang ke kawasan perumahan itu menyerahkan kunci kepada lebih kurang 500 pemilik pangsapuri itu, yang berpindah dari flat empat tingkat di Kampung Kerinchi.

Di kelilingi bangunan ikonik di Bangsar di kawasan yang kini dikenali dengan nama Bangsar South, pangsapuri moden 18 tingkat Residensi Kerinchi ternampak mewah.

Setiap unit dengan keluasan 900 kaki persegi dan tiga bilik tidur sememangnya memberikan keselesaan berbanding unit asal di flat empat tingkat yang luasnya tidak lebih separuh daripada itu.

“Dahulu rumah kosong, cuma ada tandas tidak ada bilik. Anak pula ada empat orang, kena buat bilik sendiri pakai papan,” kata Bakri, yang sudah menetap di Kampung Kerinci sejak 1973.

Najib datang ke Kampung Kerinchi dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai semalam dalam siri jelajah “Legasi Datuk Seri Najib Tun Razak”, pentas yang beliau gunakan untuk mengupas pelbagai isu semasa daripada soal kos sara hidup dan pelbagai janji Pakatan Harapan semasa PRU14.

Lapan bulan selepas hilang kerajaan dan tidak lagi memimpin Umno, Najib terus aktif turun padang berjumpa dengan rakyat pelbagai lapisan.

Selain program turun padang seperti semalam, Najib juga aktif di media sosial menjelaskan dasar-dasar kerajaan beliau dahulu dan mempersoalkan dasar-dasar kerajan kerajaan semasa yang dianggapnya tidak mesra rakyat.

“Sekarang saya ada banyak masa, dahulu terlalu sibuk dengan pentadbiran negara. Tetapi kini setelah tewas PRU14, maka saya rasa tanggungjawab, saya turun padang jelaskan kepada rakyat apa kita (Barisan Nasional) telah buat,” kata Najib memulakan dialog bersama penduduk Residensi Kerinchi, semalam.

Majlis dialog itu disertai lebih kurang 300 penduduk setempat dan mereka yang datang dari luar kawasan.

Bekas perdana menteri Najib Razak masih menerima sambutan pada setiap program yang diadakan untuk beliau bertemu rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Januari, 2019

Sepanjang program lebih kurang dua jam, mereka yang hadir hampir tidak peduli dengan 38 pertuduhan jenayah yang dihadapi bekas perdana menteri itu, yang didakwa korup dan tiada integriti.

Bagi Mohd Nazar Osman, 39, beliau menganggap pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib tidak penting kerana mantan presiden Umno itu telah berjaya menaik taraf kehidupan orang kampung dan golongan berpendapatan rendah sepertinya.

“Saya tidak fikir apa yang Najib lakukan mengenai 1MDB dengan pertuduhan yang tidak tentu lagi, yang penting beliau telah berjaya menaik taraf kehidupan orang kampung saya kepada lebih baik.

“Saya rasa apa yang berlaku terhadap Najib semua fitnah,” katanya, yang menganggap bekas perdana menteri itu sebagai Robin Hood kerana mencukai golongan kaya untuk membantu golongan miskin melalui cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Dengan GST dulu Najib kutip duit daripada orang kaya, beri kepada orang miskin. Ini maksud saya Robin Hood. Orang kaya beli kereta Porsche, orang biasa beli Kancil. Hasil GST daripada Porsche lebih tinggi,” katanya.

“Dengan cukai itu beliau menaikkan taraf orang susah kepada kehidupan yang lebih selesa. Bantu orang miskin melalui kebijaksanaan mentadbir negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang ahli perniagaan kaum Cina yang hanya mahu dikenali dengan nama Tango, 40, berharap lebih ramai lagi pemimpin pembangkang berani seperti Najib, bersuara untuk rakyat.

Beliau yang datang dari Kota Damansara, kira-kira 15 km dari Kampung Kerinchi, berkata, Najib sudah buat yang terbaik untuk memajukan ekonomi negara namun tindakannya gagal difahami oleh rakyat sehingga menyebabkan kerajaannya ditolak dalam PRU14 Mei lalu.

“Ramai rakyat Malaysia seperti kena pukau oleh pihak satu lagi, mereka tidak fikir betul-betul. Boleh tengok sekarang ekonomi macam hendak mampus. Dahulu bisnes okay. Rakyat Malaysia tidak faham apa Najib lakukan sebelum ini,” katanya.

Najib dalam program semalam berkata beliau mengesan rakyat masih rindukan zaman beliau jadi perdana menteri apabila menerima banyak mesej rakyat yang mengadu pelbagai masalah termasuk soal kos sara hidup, yang masih belum dapat ditangani oleh kerajaan baru. – 13 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • SETIAP UJIAN ADA HIKMAHNYA. ALLAH MAHA MENGETAHUI SEGALA AMALAN YANG KITA SUDAH LAKUKAN. INGATLAH SEMUA ORANG PASTI KE AKHIRAT, DENGAN RAHMAT ALLAH SEMOGA NAJIB TETAP BERPELUANG MASUK SYURGA ASALKAN TIDAK SYIRIK, ( KERANA SEGALA DOSA DIAMPUNKAN KECUALI SYIRIK) AMIN.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan